Anda di sini

Lebih 40 rumah rosak akibat ribut di enam perkampungan Pasir Puteh

Advertisement
Penduduk kampung membaiki atap yang diterbangkan ribut dalam kejadian berlaku lewat petang semalam di Kampung Nara, hari ini. -Gambar Bernama.
Penduduk kampung membaiki atap yang diterbangkan ribut dalam kejadian berlaku lewat petang semalam di Kampung Nara, hari ini. -Gambar Bernama.

PASIR PUTEH: Lebih 40 rumah mengalami kerosakan dengan kebanyakan bumbung zink rumah berkenaan diterbangkan angin dalam kejadian hujan lebat berserta ribut, di enam perkampungan dekat sini, Rabu.

Cuaca buruk yang melanda Kampung Nara, Kampung Hutan Jering, Pangkalan, Alor Pasir, Sungai Rasau dan Bukit Gedombak pada pukul 6 petang itu, berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit.

Seorang penduduk di Kampung Nara, Siti Mariam Zakaria, 39, berkata ketika kejadian, keempat-empat anaknya, Nor Sazma Erniy Mohd Asri, 19; Mohd Saiful Syamir, 18; Mohd Saful Ikhwan, 16; dan Mohd Afif, 12; terperangkap di dalam rumah.

“Sebelum kejadian saya ke kedai berdekatan untuk membeli barang bagi membuat kuih dan bergegas pulang sebaik menerima panggilan telefon daripada salah seorang anak yang meminta pulang segera kerana  atap rumah diterbangkan angin,” kata ibu tunggal itu ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Siti Mariam berkata sebaik pulang beliau mendapati kesemua anaknya menggigil ketakutan dan berlindung di sebelah almari yang dipenuhi kitab suci al-Quran.

"Sementara, bilik tidur dan ruang dapur bergenang air akibat ribut dan kesemua barangan elektrik rosak. Kerugian dianggarkan melebihi RM10,000 termasuk garaj kereta di depan rumah turut ranap,” katanya.

Seorang lagi mangsa Siti Minah Mamat, 65, dari Kampung Hutan Jering berkata, beliau bernasib baik kerana sempat melarikan diri ke rumah anaknya yang tinggal berdekatan ketika kejadian yang memusnahkan bumbung bahagian ruang tamu rumahnya.

"Namun saya bersyukur anak bongsu, Mohd Izat Hamzah, 20, yang ketika itu berada di ruang tamu selamat," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah  ketika dihubungi berkata beliau akan mengemukakan senarai mangsa kepada pihak kerajaan negeri bagi bantuan membaik pulih rumah yang rosak.

Beliau berkata bantuan segera telahpun disampaikan kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban mereka.- BERNAMA
 

Advertisement