Anda di sini

Hari Sarawak lebih bermakna jika rakyat Sarawak lantang bersuara kembalikan hak MA63

Advertisement
 

LAWAS: Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai setiap tahun menjadi lebih bermakna jika rakyat Sarawak menjadi lebih lantang bersuara mendapatkan kembali hak di bawah  Perjanjian Malaysia (MA63) yang diketepikan selama bertahun-tahun oleh kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba Kelalan Baru Bian (gambar) berkata, pada dasarnya rakyat Sarawak rindu untuk mengembalikan amalan asas dan pentadbiran kerajaan yang baik, adil dan kesaksamaan dengan kuasa yang ada. 

"Apa yang kita rindukan selama bertahun-tahun lamanya boleh dicapai lagi sekiranya kita memilih orang yang tepat untuk memimpin negeri Sarawak yang tercinta ini.

"Oleh itu, mesej tahun ini sangat penting kerana ia disampaikan pada musim yang hampir untuk Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-12," katanya menerusi kenyataan ucapan Hari Sarawak hari ini.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata rakyat Sarawak sekali lagi diberi peluang untuk memilih pemimpin dan parti politik yang mampu mewujudkan tanah Sarawak yang adil.

Naib Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) menjelaskan pada saat genting ini, ketika negara ini menghadapi krisis dan kegagalan kerajaan menanganinya sehingga menyebabkan ratusan ribu rakyat kehilangan pekerjaan, pendapatan dan simpanan bahkan nyawa mereka, seharusnya   kerajaan sedia ada dinilai kembali.

“Sudah jelas bagi kita sekarang, ketika kita menghadapi pandemik COVID-19, kita dibelenggu dengan dasar dan keputusan kerajaan Persekutuan yang sama sekali tidak membantu memulihkan situasi rakyat Sarawak.

“COVID-19 adalah ibarat keretapi melucur laju di Malaysia dan kerajaan tidak mempunyai kawalan ke atasnya yang menjejaskan kehidupan rakyat dan ekonomi,” ujarnya lagi.

Kata beliau pada masa ini, rakyat benar-benar dapat menghargai keperluan mengembalikan kuasa autonomi dan hak kedaulatan dari Kerajaan Persekutuan.

“Kita dapat merancang perjalanan kita sendiri demi kesihatan dan kesejahteraan awam, menerapkan langkah-langkah kita sendiri untuk ketahanan dan pemulihan ekonomi.

“Sekiranya kita mempunyai dana awam yang digunakan dengan bijak dan teratur, tidak ada rakyat Sarawak yang perlu mengibarkan bendera putih,” jelasnya.

Menurutnya amat dikesali bahawa banyak kisah Sarawak dipenuhi dengan 'seandainya' dan 'sepatutnya'. 

“Saya melihatnya sebagai tanda menggembirakan bahawa lebih ramai rakyat Sarawak mendapat kesedaran mengenai sejarah Sarawak.

Jelasnya lagi pepatah mengatakan bahawa dengan kesedaran, maka muncul pilihan dan tanggungjawab. 

“PRN-ke12 akan diadakan tidak lama lagi, saya menggesa semua rakyat Sarawak yang merindui Sarawak yang lebih baik dan kuat untuk menjadikannya tanggungjawab peribadi individu untuk memilih dengan bijak,” tambahnya.

Mengulas mengenai Hari Sarawak, Baru memberitahu sejak 22 Julai diisytiharkan sebagai cuti umum untuk Sarawak, perayaan itu diraikan setiap tahun di kawasannya di Ba’Kelalan.

“Malangnya, tahun ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghalang kami untuk meraikannya.

“Namun demikian, 22 Julai 1963 bukanlah hari kemerdekaan dalam erti sebenarnya melainkan hari itu kita diberi kuasa penuh untuk mentadbir kerajaan kita sendiri,”ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement