Anda di sini

Cubaan 10 PTI keluar melalui jalan tikus gagal

Advertisement
 Kesemua PTI terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.
TANGKAPAN: Kesemua PTI terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU: Cubaan 10 pendatang tanpa izin (PTI) menyusup keluar ke negara jiran melalui jalan tikus gagal selepas berjaya ditahan di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Titingan, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 pagi itu, sepasukan anggota Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang melaksanakan tugas Op Benteng Bersama mengesan semua PTI terbabit di lokasi tersebut.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata pasukannya berjaya mengesan kesemua PTI terbabit sedang bersembunyi di kawasan sekolah berkenaan.

“Kesemua PTI yang terdiri daripada dua lelaki, enam wanita dan dua kanak-kanak berumur 6 hingga 54 tahun itu ditemui bersama barang persendirian mereka.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua PTI itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mahu kembali ke negara asal mereka,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, maklumat awal yang diperolehi daripada tahanan terbabit, mereka bergerak dari Taman Tawau Lama ke Pulau Sebatik menggunakan laluan berhampiran sekolah berkenaan.

“Kemudiannya, kesemua PTI terbabit akan menaiki sebuah bot yang telah diatur oleh ejen yang bertindak sebagai tonto untuk membantu membawa mereka sampai ke negara jiran.

“Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 telah meminta bantuan pasukan Op Cegah PTI Daratan Tawau bagi melancarkan proses tangkapan tersebut,” katanya.

Abdul Karim berkata, kesemua PTI terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya dan proses saringan COVID-19.

“Pasukan ATB 2 akan terus menjalankan operasi bagi memastikan sempadan negara selamat daripada sebarang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kami juga akan mengetatkan kawalan sempadan melalui Op Pasir dan Op Benteng Bersama agar sempadan negara bebas daripada sebarang ancaman khususnya di Pantai Timur Sabah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement