Anda di sini

China perkenal inisiatif, mantapkan dasar tiga anak

Advertisement
 

BEIJING: China memperincikan dasar tiga anak dan pelbagai inisiatif untuk menyokong dan menggalakkan pasangan supaya memiliki lebih ramai cahaya mata.

Menurut Dewan Negara China, antara objektif pelaksanaan dasar itu adalah untuk menambah baik peraturan perancangan keluarga dan mendorong perkembangan populasi secara seimbang untuk jangka panjang.

Di sebalik usaha pemerintah membenarkan setiap keluarga mempunyai tiga anak, beberapa inisiatif turut ditawarkan, merangkumi perkahwinan, kelahiran, asuhan dan pendidikan.

Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), Ou Xiaoli menyatakan, dasar tiga anak dan langkah sokongan harus dilaksanakan secara bersepadu.

"Sebagai contoh, dalam isu penjagaan pranatal dan pascalahir, perkhidmatan kesihatan menyasar kaum wanita dan kanak-kanak perlu terus disempurnakan.

"Manakala, rawatan neonatal harus dikendalikan secara cekap dengan saringan dan pemeriksaan yang lebih terperinci dilakukan," katanya kepada media.

Bagaimanapun, kebimbangan kanak-kanak ditinggalkan tanpa jagaan antara penyebab utama pasangan enggan memiliki lebih ramai anak.

Sehubungan itu, pegawai kanan Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC), Yang Wenzhuang tampil menjelaskan, setakat 30 Jun, lebih 4,000 pusat jagaan kanak-kanak dibenarkan beroperasi selepas berdaftar dengan pihaknya.

"Kini, masih terdapat 10,000 lagi dalam proses pendaftaran dan ia memperlihatkan kedinamikan permintaan taska dalam negeri.

"Majikan sektor swasta dan awam digalakkan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak atau taska di premis masing-masing, sementara pelbagai entiti dan pemain industri mewujudkan program pemadanan bagi menceburi sektor penjagaan anak," jelas beliau.- BERNAMA
 

Advertisement