Anda di sini

Belia tidak harus lupa makna Hari Sarawak

Advertisement
 

MUKAH: Golongan belia terutamanya yang lahir di negeri ini harus terus memperingati keistimewaan sambutan Hari Sarawak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi (gambar), tidak pernah merasai hidup ketika zaman sebelum merdeka bukanlah satu alasan untuk melupakan perjuangan atau pengorbanan dilalui oleh golongan terdahulu.

"Tarikh 22 Julai setiap tahun adalah tarikh di mana anak Sarawak perlu ingati dan banggakan, ia telah dikhaskan untuk kita menyambut kemenangan daripada penjajah," katanya kepada Utusan Borneo.

Tambahnya, kehidupan yang serba lengkap, aman serta harmoni yang dikecapi ketika ini adalah kesan daripada kemerdekaan.

Justeru, tegas Yakub untuk terus mengecapi kehidupan aman di negeri ini sebagaimana sekarang, keharmonian antara kaum harus terus dipertahankan.

Beliau menjelaskan, golongan belia juga tidak harus terpengaruh dengan anasir-anasir luar atau dalam negara yang pada bila-bila masa boleh meracuni fikiran mereka.

Katanya lagi, jika tersilap langkah, keamanan serta keharmonian yang telah dikecapi selama ini akan menjadi perjuangan yang sia-sia.

Selain itu, beliau memberitahu, kestabilan politik ketika ini juga merupakan kesan secara langsung daripada perjalanan kemerdekaan.

"Bagi belia, apa yang penting adalah untuk membina sesebuah negeri yang aman bukanlah mengambil masa sehari sahaja.

"Pada detik ini, mereka perlu mengetahui dan mendalami peri pentingnya erti sebuah kemerdekaan," ujarnya.

Kerajaan negeri Sarawak telah mewartakan 22 Julai setiap tahun sebagai Sambutan Hari Sarawak sejak 2016.

  • oleh
  • Advertisement