Anda di sini

Ambil pendekatan proaktif bagi mempercepat proses vaksinasi : Limus

Advertisement
 Limus (lima kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan secara simbolik kepada wakil-wakil masjid, gereja dan tokong di majlis itu.
SUMBANGAN: Limus (lima kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan secara simbolik kepada wakil-wakil masjid, gereja dan tokong di majlis itu.


KUALA PENYU: Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury menyarankan kerajaan negeri supaya mengambil pendekatan yang lebih proaktif bagi memastikan usaha pemberian vaksin dapat ditingkatkan berikutan peningkatan kes COVID-19 di Sabah baru-baru ini.


Beliau berkata, kaedah pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera dan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tidak cukup berkesan walaupun terdapat peningkatan dari semasa ke semasa namun jika dibandingkan diantara negeri-negeri lain, Sabah masih jauh ketinggalan.


Jelas beliau lagi, jumlah bekalan vaksin di Sabah juga mempengaruhi proses pemberian vaksin namun kaedah lain perlu diberi pertimbangan dengan memberi pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkannya secara 'walk-in'.


Justeru, beliau berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan kaedah-kaedah yang sesuai memandangkan negeri jiran seperti Sarawak telah memulakan pemberian vaksin secara ‘walk-in’ di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu sejak Rabu sebagai usaha mempercepat usaha vaksinasi.


Limus berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bakul makanan kepada rumah-rumah ibadat di Kuala Penyu seperti masjid, gereja dan tokong secara simbolik di pejabat beliau, dekat sini.


Sebanyak 700 bakul makanan diagihkan kepada masjid, gereja dan tokong di sekitar Kuala Penyu termasuk Menumbok yang mana ianya akan diagihkan kepada golongan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19.


Dalam pada itu, Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu turut menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menggesa kerajaan pusat supaya segera menghantar bekalan vaksin ke Sabah.


Hajiji berkata, kelewatan tersebut disebabkan pihak pembekal lambat menghantar bekalan vaksin ke negara ini namun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjadualkan semula penghantaran itu dan dijangka sampai dalam minggu ini dan seterusnya.


Justeru tambah Limus, dengan adanya bekalan vaksin yang mencukupi menjelang beberapa minggu, kerajaan negeri perlu memikirkan kaedah sesuai bagi mempercepatkan proses vaksinasi sekaligus meningkatkan jumlah penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua.

  • oleh
  • Advertisement