Anda di sini

Aktiviti berkumpul, keagamaan punca peningkatan COVID-19 di Sipitang

Advertisement
__alt__

SIPITANG: Aktiviti keagamaan dipercayai menjadi punca peningkatan mendadak penularan kes positif COVID-19 membabitkan beberapa kampung di kawasan Mukim Melamam di sini.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata siasatan awal mendapati beberapa individu tidak bertanggungjawab bertindak mengadakan aktiviti berkumpul dan keagamaan di kawasan berkenaan.

"Disebabkan aktiviti keagamaan itu, orang ramai kemudiannya membuat satu laporan polis kerana tidak berpuas hati dan mohon pihak polis menjalankan siasatan serta tindakan undang-undang.

"Hasil siasatan mendapati kita sudah mengenalpasti individu terlibat dan mereka bersama ahli keluarga sedang dirawat di hospital selepas disahkan positif COVID-19,” katanya.

Menurutnya perbuatan mereka itu jelas menunjukkan bertentangan dengan arahan kerajaan mengikut Akta 342 dan siasatan lanjut sudah dijalankan.

“Polis akan mengambil keterangan mereka selepas dibenarkan keluar dari hospital dan mana-mana individu yang turut menghadiri aktiviti keagamaan berkenaan agar hadir ke balai polis untuk memberi keterangan," katanya.

Sementara itu katanya pihak polis turut menerima laporan daripada pihak Pengurusan dan Pentadbiran gereja SIB Kawasan Sipitang.

Katanya laporan polis itu adalah bagi menafikan penglibatan mereka dalam mengadakan atau menganjurkan sebarang aktiviti keagamaan.

"Pengurusan SIB Sipitang mendakwa mereka akur dengan arahan bertulis dari Pengurusan SIB pusat dan kerajaan untuk tidak mengadakan sebarang aktiviti keagamaan di gereja atau di rumah.

"Penganjuran aktiviti menggunakan nama SIB itu adalah atas kapasiti individu terbabit yang mengadakan aktiviti keagamaan di rumah kediaman mereka sendiri," katanya.

Champin juga meminta kerjasama penduduk di daerah ini supaya duduk di rumah masing-masing dalam tempoh berapa hari dalam usaha memutuskan rangkaian virus COVID-19.

Advertisement