Anda di sini

Rentas daerah guna permit palsu, tiga warga Indonesia dipenjara

Advertisement
Kesemua warga Indonesia yang memalsukan permit dan tidak memiliki permit dijatuhi hukuman penjara hari ini.
Kesemua warga Indonesia yang memalsukan permit dan tidak memiliki permit dijatuhi hukuman penjara hari ini.

KUCHING: Tiga lelaki warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mengemukakan permit perjalanan palsu untuk merentas daerah. 

Majistret Zaiton Anuar menetapkan Anwar Durani, 45, Wardi Samoin, 40 dan Tahmid, 38, masing-masing dipenjara mulai dari tarikh tangkap mereka iaitu pada 7 Julai lalu. 

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama memberikan maklumat palsu dalam permit pergerakan yang dikeluarkan pihak polis, dalam satu kejadian pada 7 Julai lalu, jam lebih kurang 10.35 pagi di Sekatan Jalan Raya (SJR) Batu Kitang, Bau, di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, pegawai bertugas semasa SJR menahan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) dinaiki kesemua tertuduh bersama tiga lagi warga Indonesia yang lain.

Hasil pemeriksaan mendapati setiap daripada tiga tertuduh memiliki permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan oleh Balai Polis Tanjung Kidurong, Bintulu.

Bagaimanapun, pegawai bertugas mendapati terdapat keraguan pada bahagian tandatangan dan cop permit tersebut dan difahamkan, berlaku penambahan kandungan pada permit tersebut.  

Semakan dibuat dengan Ketua Balai Polis Tanjung Kidurong seterusnya mendapati pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada kesemua tertuduh dan permit yang digunakan mereka dipercayai palsu. 

Untuk itu, mereka masing-masing didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta Sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, empat lagi rakan tertuduh lain yang turut berada di dalam kenderaan tersebut iaitu Enggano, 31, Muhammad Abu Kosim, 21, Harifin Suhairi, 40 dan Sugiyono Imam, 46, masing-masing didakwa atas pertuduhan tidak memiliki permit pergerakan PKP semasa merentas daerah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta Sama dibacakan terhadap mereka.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Aida Montong yang menggantikan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan kes disebut semula pada 27 Julai depan.

Dalam pada itu juga, ketujuh-tujuh tertuduh turut mengaku bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen kerana melakukan kesalahan tinggal lebih masa di Sarawak, juga dilakukan mereka dalam kejadian sama.

Hakim Afidah Abdul Rahman kemudian menetapkan kesemua tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang, berkuat kuasa mulai dari tarikh tangkap (7 Julai).

Fakta kes mendedahkan kesemua mereka masuk ke Sarawak melalui pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu / Biawak dengan menggunakan pas lawatan sosial.

Semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagaimanapun mendapati kesemua pas lawatan atau permit kerja tertuduh telah tamat tempoh. 

Sehubungan itu, mereka di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi, Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement