Anda di sini

Lima lelaki didenda terlibat sabung ayam

Advertisement
 

MIRI: Lima lelaki termasuk dua warga emas masing-masing didenda RM600 atau empat hari penjara oleh Mahkamah Majistret kerana hadir dan terlibat dalam kegiatan sabung ayam haram.

Libin Jimmy, 62, dari Tudan Desaras; Jaafar Hasan, 56, dari Kampung Haji Wahed; Smithson Dinggai Emban, 21, dari Bandar Baru Permyjaya, Robert Frederick Gelau, 46, dan Russil Chul Robert, 22, kedua-duanya dari Baram telah didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Ke Atas Binatang Pelihara (Ayam Sabung) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 5 (1) akta sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Inspektor Mohd Shamm Nazfadley Nasir telah membuat serbuan ke sebuah kawasan tanah lapang di Pujut Sampah di sini kerana dipercayai ada kegiatan sabung ayam haram dianjurkan di situ.

Dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 4.50 petang itu, 18 Julai lalu, polis telah menangkap lima orang lelaki yang didapati hadir dan bermain sabung ayam yang dianjurkan secara haram.

Semasa serbuan dilakukan, polis turut merampas seekor ayam sabung hidup bersama sebilah taji untuk dijadikan barang kes.

Berikutan tangkapan, kesemua tertuduh kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

  • oleh
  • Advertisement