Anda di sini

Polis nafi dakwaan individu disuntik dengan picagari kosong di PPV BACC

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan seorang lelaki mengatakan dirinya disuntik menggunakan picagari kosong ketika mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), di sini, pada Sabtu lepas. 

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dakwaan berkenaan hanya salah faham dan individu itu telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac. 

Beliau berkata siasatan mendapati individu berkenaan telah dihubungi oleh petugas di PPV itu dan diberi penerangan dengan jelas berhubung prosedur pengambilan vaksin dan individu berkenaan berpuas hati dengan penerangan diberikan. 

“Tiada laporan polis dibuat oleh penerima vaksin itu atau mana-mana individu berkaitan dakwaan hampir ditipu ketika menerima suntikan vaksin di PPV berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid laporan polis hanya dibuat pihak BACC semalam untuk menjelaskan dan menafikan dakwaan individu berkenaan. 

Mohd Zaid berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan siasatan mendapati ciapan di ruangan komen Twitter itu dibuat oleh teman wanita penerima vaksin itu yang menyebabkan ia tular dan mendapat pandangan negatif daripada masyarakat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan ataupun ciapan yang belum dipastikan kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.

Dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya telah memanggil petugas kesihatan dan saksi berkaitan untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan individu disuntik dengan picagari kosong di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Sabtu lepas.

"Pihak kami ada menerima laporan dan petugas atau individu yang terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan," katanya dihubungi hari ini. 

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam kenyataan semalam memaklumkan  pihaknya sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang tular di media sosial baru-baru ini. - Bernama
 

Advertisement