Anda di sini

Rompak: Pemuda dijatuhkan hukuman penjara dan sebat

Advertisement
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum.
Abd Rafiq keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum.

KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana terlibat dalam rompakan berkumpulan pada 2018. 

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas perbicaraan penuh dijalankan dan tertuduh Abd Rafiq Hafizzul Aldrich, 23, didapati bersalah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun sama.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu bersama dua rakannya didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita dengan bersenjatakan sebilah parang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka pada 30 Mac 2018 di Jalan Petanak.

Untuk kesalahan itu, Hakim Jason Juga menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan tiga sebatan.

Selain itu, tertuduh bersama dua rakannya itu turut berhadapan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Berdasarkan pertuduhan, mereka dengan niat secara bersama melakukan kesalahan memiliki senjata bahaya iaitu sebilah parang tanpa maksud sah pada hari dan tempat sama. 

Tertuduh seterusnya dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi kesalahan itu.

Terdahulu pada 4 Februari, tertuduh didapati bersalah selepas perbicaraan penuh dan Hakim Jason Juga mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Justeru, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar laporan sosial tertuduh, memandangkan tertuduh berusia 20 tahun semasa kejadian dan seterusnya dikategorikan sebagai pesalah muda.

Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengemukakan laporan sosial pada hari ini bagaimanapun menyerahkan kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukum terhadap tertuduh, susulan tertuduh didapati bersalah selepas perbicaraan penuh dijalankan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan.

Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu diarahkan berjalan serentak. 

Dalam pada itu, rakan tertuduh iaitu Abdul Rahman Abdul Malek, 27 dan Mohd Azril Othman, 27, yang terlibat dalam rompakan serta melakukan kesalahan memiliki senjata berbahaya, juga didapati bersalah selepas perbicaraan penuh dan dijatuhkan hukum pada 4 Februari lalu.

Bagi pertuduhan merompak, kedua-dua tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dikenakan dua sebatan manakala bagi pertuduhan berikutnya, mahkamah menetapkan mereka dipenjara tujuh tahun dan dikenakan satu sebatan setiap seorang. 

Mahkamah juga mengarahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ruthra Raj manakala tertuduh diwakili peguam, CM Sundram. 

  • oleh
  • Advertisement