Anda di sini

Olimpik: Kontinjen negara selamat tiba di Tokyo

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kumpulan terbesar kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo tidak menghadapi sebarang masalah dalam urusan pendaftaran masuk ke Perkampungan Olimpik di Tokyo selepas selamat tiba di negara matahari terbit itu, semalam.

Lebih menggembirakan, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata ujian saringan COVID-19 ke atas kesemua 40 individu termasuk 18 atlet yang dilakukan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita turut disahkan negatif.

“Alhamdulillah semua selamat sampai di Perkampungan Olimpik. Ujian saringan menggunakan air liur juga keluar (keputusan) negatif dan kontinjen Malaysia di sini mula menyesuaikan diri dengan kemudahan yang ada.

“Cuma kita masih dalam kumpulan B yang mana pengawasan COVID-19 ada terdapat tambahan SOP (prosedur operasi standard). Contohnya tempat makan berlainan dan penjagaan jarak jauh dengan pasukan kontinjen negara lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, Mohd Nazifuddin berkata kesemua atlet negara dan pegawai di Tokyo yang kini sedang menjalani tempoh isolasi selama tiga hari, perlu terus menjalani ujian saringan COVID-19 sepanjang temasya itu berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sabtu lepas, seramai 40 individu termasuk 18 atlet terdiri daripada sukan renang, terjun, badminton, gimnastik dan memanah berlepas ke Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk mengharungi cabaran di temasya sukan terbesar dunia itu.

Ia sekali gus menjadi kumpulan terbesar kontinjen negara selepas empat atlet pelayaran yang diiringi tiga pegawai bertolak ke Tokyo pada 8 Julai dengan kumpulan ketiga terdiri daripada sukan berbasikal trek, olahraga dan golf dijangka berlepas pada 25 Julai ini.

Sementara itu, Mohd Nazifuddin yang ditugaskan untuk menguruskan kontinjen negara di Tokyo, pagi ini menghadiri mesyuarat bersama barisan chef de mission Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan negara peserta dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020. - BERNAMA

Advertisement