Anda di sini

13 gelandangan ditemui dalam Operasi Pemantauan Gelandangan

Advertisement
Lee bersama penguatkuasa ketika menemui gelandangan dalam operasi malam tadi.
Lee bersama penguatkuasa ketika menemui gelandangan dalam operasi malam tadi.


MIRI: Dua gelandangan warga negara Indonesia antara 13 ditemui ketika Operasi Pemantauan Gelandangan Daerah Miri pada malam tadi.

Kedua-dua mereka didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Bahagian Miri. 

Empat gelandangan telah dihantar balik ke rumah masing-masing oleh pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Miri. 

Sementara yang lain telah dinasihatkan untuk ke Pusat Pemindahan Sementara Gelandangan (PPSG) dan mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19.

Operasi diadakan bermula jam 10 malam hingga 1 pagi yang turut melibatkan kerjasama Pejabat Residen, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) Datuk Lee Kim Shin berkata, operasi bertujuan memantau dan mengenalpasti gelandangan bagi tujuan program vaksinasi COVID-19.

"Siasatan dan semakan masih lagi dilakukan oleh Pegawai Kebajikan dan bagi gelandangan yang tidak mempunyai saudara atau tempat tinggal disini akan diletakkan di PPSG," jelasnya. 

Lee meminta kerjasama penduduk untuk segera membuat laporan kepada JKM tentang gelandangan di sini. 

Mereka boleh menghubungi talian 085-419072 dan 085-419073.

Beliau berharap semua penduduk berganding bahu membendung penularan jangkitan COVID-19 dan bekerjasama mencapai komuniti kelompok dengan mendapatkan vaksin. 

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainal, Pegawai Kebajikan Masyarakat Miri Pengiran Mohamad Najib, Pegawai RELA Miri Mohamad Afizi Salam dan Pemangku Residen Miri, Jamalie Busri. 

Advertisement