Anda di sini

Pembelajaran bersemuka tidak sesuai dalam tempoh kes meningkat - Senator

Advertisement
 

MIRI: Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang dirancang pada 1 September dilihat masih belum sesuai untuk dilaksanakan. 

Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling (gambar) berkata, warga sekolah berdepan risiko dijangkiti COVID-19 melihat kepada kes jangkitan yang belum terkawal sepenuhnya pada sekarang. 

Menurut Ling, ketidaksesuaian ini kerana jumlah guru dan kakitangan sekolah yang menerima vaksin masih belum mencapai tahap 100 peratus. 

Selain itu, vaksin juga belum dibenarkan disuntik kepada golongan pelajar berusia 12 hingga 18 tahun. 

"Saya rasa ini adalah satu risiko bukan saja untuk murid tapi juga guru. Mereka juga berdepan risiko kerana belum lagi divaksinasikan sepenuhnya dan murid belum divaksinasi sepenuhnya.

"Lebih-lebih lagi sekarang kes begitu mendadak dan sangat merisaukan," jelasnya. 

Ling yang juga Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata demikian mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Sabtu.

Menurut KPM, sehingga 16 Julai lalu, seramai 253, 366 guru dan pentadbir (61. 3 peratus), serta 10,876 kakitangan sokongan (46.33 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

Sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini. 

KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September. 

"Saya rasa kenyataan ini tidak tepat dikeluarkan pada waktu yang sangat kritikal sekarang. Kita telah lima hari berturut-turut kes jangkitan mencapai angka lima digit dengan kes kematian dicatatkan paling banyak pada semalam, " jelasnya. 

Menurut Ling, ibu bapa juga tidak akan membenarkan anak mereka ke sekolah sekiranya keadaan di tahap membimbangkan.

Ling berkata, kenyataan KPM tentang sesi persekolahan tidak wajar dikeluarkan pada waktu sekarang. 

"Saya berasa kesal dengan kenyataan tersebut yang tidak seharusnya dikeluarkan, yang nampaknya tidak serius untuk kementerian mengambil berat tentang kebajikan dan keselamatan guru dan pelajar. 

Kenyataan ini bertentangan dan menimbulkan kekeliruan sama sekali pada masa sekarang.

"Janganlah kita, kes sekarang begitu tinggi kita hendak ke sekolah," tegasnya. 

Advertisement