Anda di sini

MAFI waspada tangani jangkitan LSD ke atas lembu tempatan - Che Abdullah

Advertisement
Che Abdullah (depan, kiri) melihat dari dekat sebahagian lembu yang dikuarantin sewaktu lawatan kerja ke MAQIS Kelantan, Rantau Panjang hari ini. - Gambar Bernama
Che Abdullah (depan, kiri) melihat dari dekat sebahagian lembu yang dikuarantin sewaktu lawatan kerja ke MAQIS Kelantan, Rantau Panjang hari ini. - Gambar Bernama

RANTAU PANJANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa berwaspada dan peka terhadap isu penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) atau kulit kental/berbonjol yang menjadi kegusaran penternak-penternak lembu di dalam negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sentiasa memantau dan memeriksa premis-premis di seluruh negara bagi mengesan ternakan lembu yang dijangkiti.

Beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 12,757 premis telah diperiksa melibatkan 168,734 ekor lembu dan daripada jumlah itu, sebanyak 169 ekor lembu dari 101 premis positif LSD.

"Bagi Kelantan sahaja sebanyak 608 premis telah diperiksa melibatkan 6,092 ekor lembu dan didapati 14 ekor lembu disahkan positif,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Stesen Kuarantin MAQIS Rantau Panjang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata di Stesen Kuarantin MAQIS Rantau Panjang, terdapat 59 ekor lembu yang ditahan hasil usaha sama MAQIS bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sentiasa komited dalam mengekang aktiviti penyeludupan di sepanjang sempadan negara. 

Katanya, secara keseluruhannya lima daripada 59 ekor lembu yang ditahan tersebut disyaki terdapat tanda-tanda klinikal LSD. 

"Pada Mei lepas, difahamkan MAQIS Kelantan turut mengesan dan mengesyaki terdapat 14 daripada 235 ekor lembu yang diimport dari Thailand mempunyai tanda-tanda penyakit LSD semasa dalam tempoh kuarantin. 

"MAQIS juga telah membuat pemantauan rapi ke atas kesemua lembu tersebut dengan kerjasama pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mengawal serta mengelak penyakit tersebut daripada terus merebak dan menjejaskan industri ternakan lembu khususnya di Kelantan," katanya.

Che  Abdullah berkata MAFI melalui MAQIS akan terus mempertingkat kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal. - Bernama 

Advertisement