Anda di sini

Ibu tunggal sara hidup sebagai tukang kasut

Advertisement
Rohana (kiri) nekad teruskan kerja arwah suami sebagai tukang kasut di Lebuh India bersama Hamdan. - Gambar oleh Roystein Emmor
Rohana (kiri) nekad teruskan kerja arwah suami sebagai tukang kasut di Lebuh India bersama Hamdan. - Gambar oleh Roystein Emmor

KELIBAT tukang di kaki lima premis rumah kedai di sekitar bandar raya Kuching bukan sesuatu yang asing lagi dimata masyarakat sejak berpuluh tahun dahulu.

Namun, disebalik puluhan lelaki yang menjahit kasut di Lebuh India di sini, terselit kelibat seorang wanita melakukan pekerjaan yang sama. 

Rohana Dulah berkata menjadi tukang kasut bukan pekerjaan yang diimpikan oleh mana-mana wanita. 

Tetapi menurut wanita berusia 34 tahun ini, dia nekad untuk menjalankan kerja ini selepasnya suaminya meninggal dunia lapan bulan lepas. 

“Dulu, masa arwah suami masih hidup saya kerap menemaninya membaiki kasut di Lebuh India ini. 

“Masa itu saya cuma tengok-tengok sahaja dia membaiki kasut dan kalau bosan saya akan berjalan-jalan di sekitar Lebuh India ini. 

“Tetapi selepas suami meninggal dan bergelar ibu tunggal, saya terpaksa sambung kerja arwah baiki kasut untuk kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui. 

Tambah Rohana, ramai yang mempersoalkan keputusannya memilih kerjaya sebagai tukang kasut sedangkan banyak lagi pekerjaan lain yang lebih sesuai untuk wanita. 

Tetapi menurut Rohana, dia nekad untuk meneruskan kerja arwah suaminya sebagai tukang kasut asalkan halal. 

“Pada mulanya memang ada rasa kekok tetapi lama-kelamaan sudah faham dan tahu mana hendak dapatkan alatan yang diperlukan,” katanya. 

Meskipun sudah semakin selesa bekerja sebagai tukang kasut, namun kata Rohana cabaran tetap ada. 

“Cabaran memang ada, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pelanggan yang sangat berkira. 

“Tetapi, demi menjaga periuk nasi, kita ikutkan sahaja kehendak pelanggan walaupun upah dibayar tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan,” katanya. 

Sama seperti wanita lain, Rohana berkata dia mempunyai impian untuk membuka kedai membaiki kasutnya sendiri pada suatu hari kelak. 

“Impian untuk memiliki kedai sendiri memang ada, tetapi belum ada rezeki pada masa ini lebih-lebih lagi dalam pandemik COVID-19 ini,” katanya yang turut mengambil upah membaiki beg. 

Sementara itu, tukang kasut berpengalaman, Hamdan Mohamad, 65, yang membaiki kasut di lokasi sama antara yang banyak membantu memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada Rohana. 

Menurut Hamdan, pada masa ini Rohana merupakan satu-satunya tukang kasut wanita di bandar raya ini. 

Kehadiran Rohana sebagai tukang kasut katanya disambut baik oleh tukang kasut lelaki kerana boleh mengubah pandangan masyarakat terhadap pekerjaan sebagai tukang kasut. 

“Tidak dinafikan ada pelanggan wanita yang ragu-ragu untuk menghantar kasut mereka kepada tukang kasut lelaki lebih-lebih lagi di kawasan kaki lima. 

“Tetapi dengan adanya tukang kasut wanita ia boleh menimbulkan rasa yakin terutama bagi pelanggan wanita,” katanya. 

Tambahan kata Hamdan, wanita mempunyai kemahiran menjahit semula jadi dan mudah untuk mereka mempelajari cara-cara membaiki kasut.

Advertisement