Anda di sini

Gajah Pygmy Borneo ditemui mati

Advertisement
 Silvester (kiri) semasa turun ke lokasi kejadian melihat bangkai anak gajah tersebut.
PERIKSA: Silvester (kiri) semasa turun ke lokasi kejadian melihat bangkai anak gajah tersebut.

LAHAD DATU: Seekor anak gajah Pygmy Borneo ditemui mati di Ladang Sahabat 1, Tungku, di sini, pada Jumaat.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bangkai anak gajah itu daripada pengurus ladang berkenaan.

“Bangkai anak gajah berusia lima tahun itu ditemui oleh seorang pekerja ladang berkenaan sebelum membuat laporan kepada pengurusnya kira-kira jam 1 petang.

“Sebaik menerima maklumat itu, saya bersama pegawai JHL yang bertugas datang ke lokasi untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini semalam.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh  Veterinar JHL Dr. Nur Nabilah Sarkawi mengesahkan kematian mamalia tersebut disebabkan keracunan.

“Berdasarkan bedah siasat itu, perut anak gajah tersebut mengandungi racun yang menyebabkan  kematiannya.

“Kemungkinan  anak gajah itu telah mendapat makanan melalui bekas yang mengandungi bahan toksin.

Bagaimanapun, setakat ini tiada unsur jenayah atau kesan tembakan dikaitan dengan kematian anak gajah tersebut kerana organ dalaman seperti jantung dan paru-paru dalam keadaan baik,” katanya.

Silvester berkata, kematian anak gajah tersebut merupakan pertama kali berlaku di kawasan ladang berkenaan pada tahun ini.

“Melalui maklumat pekerja ladang berkenaan, kali terakhir kumpulan gajah dilihat berkeliaran di kawasan mereka pada Mei lalu.

“Kumpulan gajah tersebut dipercayai datang dari Tabin untuk mencari sumber makanan di sekitar kawasan ladang berkenaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement