Anda di sini

FDAM hulur bakul makanan kepada warga seni yang terkesan

Advertisement
 Rombongan FDAM menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penggiat sepanjang pelaksanaan PKP.
SERAH: Rombongan FDAM menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penggiat sepanjang pelaksanaan PKP.


# Ahli PDAM turut diberi ruang untuk menerima suntikan vaksin


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengagihkan bakul makanan kepada penggiat industri kreatif menerusi program RESQ ANAK SENI yang akan diadakan di pekarangan pejabat FDAM, Desa Melawati Kuala Lumpur, semalam.


Lebih 500 bakul keperluan asas diagihkan kepada warga seni yang terkesan akibat pandemik COVID-19 secara berperingkat di seluruh negara bermula dengan Lembah Kelang, Nilai dan Seremban.


Jumlah tersebut tidak termasuk agihan yang dibuat sebelum ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.


Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata, bantuan berkenaan diagihkan kepada ahli FDAM dan persatuan lain merangkumi pengarah, penerbit, kru produksi, pelakon dan penyanyi selain golongan yang sering terpinggir seperti pelakon tambahan, penari, kru teater dan buskers.


“FDAM merupakan wakil kepada semua pengarah filem. Pemberian sumbangan ini adalah atas rasa tanggungjawab sebagai seorang pengarah terhadap pengorbanan anak seni di belakang tabir yang banyak berjasa pada seorang pengarah.


“Mereka adalah anak buah pengarah ketika di lapangan dan kita harus hargai jasa-jasa mereka kerana tanpa mereka siapalah pengarah. Senang mereka senang pengarah., susah mereka susah pengarah,” katanya.


Menurutnya, agihan fasa pertama meliputi Lembah Kelang iaitu zon Puchong, Keramat AU2, Setapak, Taman Melawati diikuti oleh Nilai dan Seremban manakala fasa kedua akan diperluaskan ke zon lain termasuk Sabah dan Sarawak.


Sehingga kini katanya, sebanyak 1,683 kotak sudah diagihkan kepada penerima-penerima.


Semua bantuan tersebut disumbangkan oleh Yayasan Maghrifah, Yayasan FELDA, GISB Holdings Sdn Bhd, Intelek Muda Nasional dengan Kerjasama Pertubuhan Amal Global Care; Jihad Anak Seni; Laguna by Sofia dengan Kerjasama Pertubuhan Ummah Nusantara Malaysia; Koperasi An-Najah; Intelspeed Sdn Bhd dan Bob Auto Puchong.


“FDAM juga mengharapkan lebih ramai pihak sama ada ahli korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil membantu dalam menghulurkan sumbangan untuk bakul makanan ini diteruskan selepas ini,” katanya.

 Rombongan FDAM turun membantu mengagihkan bakul makanan kepada penerima.
MEMBANTU: Rombongan FDAM turun membantu mengagihkan bakul makanan kepada penerima.


Dalam pada itu, FDAM membawa berita gembira buat ahlinya apabila berjaya mendapat ruang untuk suntikan vaksin secara berkelompok.


“FDAM menyasarkan 100 peratus pengarah dan penggiat seni yang bekerja di lapangan mengambil peluang untuk terbabit dalam program vaksin ini,” katanya.


Peluang ini turut terbuka pada pasangan (suami/isteri) dan anak berusia 18 tahun ke atas sahaja. Hanya untuk ahli yang menetap dan mendaftar di Lembah Klang.


Jelasnya, FDAM akan menghantar senarai nama ahli yang memohon suntikan vaksin kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 19 Julai ini.

Advertisement