Anda di sini

Tiga lagi pantai peranginan Thailand mula dibuka di bawah inisiatif 'Samui Plus'

Advertisement
 

BANGKOK: Selepas Phuket, Thailand hari ini membuka kembali tiga pulau peranginannya di wilayah Surat Thani - Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao - kepada pelancong asing yang  lengkap divaksin.

Pembukaan semula itu di bawah konsep "Samui Plus, lanjutan daripada insiatif "Phuket Sandbox", kedua-duanya bertujuan menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Namun, kedatangan pelancong dijangka perlahan berikutan lonjakan kes COVID-19 di Thailand.

“Samui Plus” dilancarkan secara sidang video oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang sedang menjalani kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat seorang pesakit COVID-19 ketika pelancaran ‘Phuket Sandbox” 1 Julai lalu.

Sembilan pelancong asing terdiri personaliti Youtuber dan blog yang dijemput menyertai lawatan pengenalan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) tiba di Koh Samui hari ini.

Di bawah "Samui Plus", pengunjung disahkan negatif COVID-19 mesti menginap di hotel yang diluluskan kerajaan di Koh Samui selama tujuh hari sebelum boleh berpindah ke hotel di pulau lain yang berdekatan, seperti Koh Phangan atau Koh Tao untuk tujuh hari berikutnya.

Jika pelancong itu sekali lagi disahkan negatif pada hari ke-15, mereka boleh pergi melawat ke wilayah lain di Thailand.

Buat masa ini, hanya pelancong dari 69 negara dan wilayah termasuk Australia, Brunei, China, Taiwan, Jepun, Rusia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu dibenarkan memasuki Koh Samui

Gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata hanya 80 pelancong sudah menempah penerbangan ke Samui antara Julai dan September.

Sementara itu, "Phuket Sandbox" yang dilancarkan 1 Julai lalu, untuk pelancong antarabangsa yang lengkap divaksin dari negara berisiko rendah dan sederhana berpeluang mengunjungi Phuket tanpa perlu menjalani kuarantin, tetapi tidak boleh meninggalkan pulau itu selama dua minggu.

Setakat ini, Phuket telah menerima 5,473 pelancong antarabangsa dengan 10 daripadanya disahkan positif COVID-19 dan sedang menerima rawatan di hospital.

TAT berkata sebanyak 196,766 bilik telah tempah sehingga September. - BERNAMA 

Advertisement