Anda di sini

Pakej rangsangan kerajaan tidak pinggir M40

Advertisement

SIBU: Ramai yang beranggapan pakej-pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan tertumpu kepada golongan tertentu.

Namun, fokus kepada golongan tertentu bukan bermakna kerajaan membiarkan mana-mana pihak tercicir daripada bantuan yang disediakan ketika negara mengharungi waktu sukar akibat penularan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

Kerajaan sentiasa berikhtiar untuk memastikan semua lapisan masyarakat dibantu, mendapat manfaat dan sama-sama berganding bahu menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) adalah pakej rangsangan kelapan diperkenalkan kerajaan yang turut merangkumi pelbagai inisiatif dan bantuan untuk M40, golongan yang sering tersalah anggap sebagai ‘tercicir’ oleh segelintir pihak.

Hakikatnya, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan sejak memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) ketika negara mula-mula dilanda pandemik COVID-19 lebih setahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan memperkenalkan pula pakej PRIHATIN PKS, disusuli Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+.

Contoh paling mudah ialah moratorium pinjaman bank dan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang walaupun bukan suntikan langsung fiskal, ia merupakan sebahagian daripada ekosistem kerajaan.

Jika di bawah PEMERKASA+ sebelum ini, moratorium diberikan secara bersasar, PEMULIH menambah baik inisiatif berkenaan, iaitu terbuka kepada semua yang layak dengan peruntukan sebanyak RM80 bilion.

Malah, penambahbaikan moratorium meliputi kelulusan automatik kepada semua yang memohon tanpa syarat, tanpa faedah terkompaun atau caj penalti.

Moratorium enam bulan ditawarkan kepada semua peminjam dari kategori B40, M40 dan T20, selain perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Raymond Ako, kontraktor
Raymond Ako, kontraktor

Raymond Ako, 40, seorang kontraktor, menyifatkan pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sangat prihatin terhadap rakyat.

Menurutnya, pakej rangsangan itu bertepatan dengan asasnya, iaitu memulihkan sosioekonomi semua golongan atau kategori sasar rakyat di negara ini.

“Walaupun ada pihak yang mengatakan M40 seolah-olah disisihkan dalam pakej-pakej rangsangan kerajaan, tetapi sebenarnya tidak.

“M40 yang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan sederhana sebenarnya memang terangkum, cuma kita tidak sedar ataupun terlepas pandang,” katanya.

Raymond memberitahu, selain moratorium, M40 turut menikmati pelbagai subsidi kerajaan secara langsung mahupun tidak langsung, antaranya diskaun bil elektrik, penangguhan premium insurans, kemudahan pengeluaran i-Sinar dan 
i-Citra di bawah KWSP dan sebagainya.

“Ada juga (bantuan untuk M40), siapa kata M40 tercicir? Sekurang-kurangnya M40 ini masih juga berpeluang ‘menikmati’ bantuan kerajaan, sejak dari pakej pertama PRIHATIN dahulu.

“Ini yang saya maksudkan PEMULIH merangkumi semua golongan sasar atau rakyat di negara ini tetapi ia berdasarkan keadaan kerana kerajaan mengutamakan mereka yang benar-benar terjejas.

“Kita yang bernasib baik ini bersyukurlah, tetapi bagi yang kurang bernasib baik, PEMULIH ini adalah untuk mereka,” ujarnya.

Menurutnya lagi, beliau turut mendapat manfaat daripada moratorium pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan setelah memohonnya di bawah pakej PEMERKASA+ sebelum ini.

“Sebagai kontraktor dan juga ahli perniagaan, waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, turut sedikit terjejas.

“Justeru, saya dapat memohon pengurangan bayaran balik ansuran selaras dengan pendapatan yang berkurangan,” jelas Raymond.

Raymond turut berkata, bantuan dan inisiatif PEMULIH adalah usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kelangsungan hidup seluruh rakyat.

“Ambil masa dan berfikirlah sejenak, kita pasti akan mengakui bahawa kerajaan tidak pernah putus-putus memberikan bantuan agar kita dapat mengharungi cabaran getir semasa pandemik ini,” katanya.

Kevin Nyait, pegawai kerajaan
Kevin Nyait, pegawai kerajaan

Sementara itu, seorang pegawai kerajaan di sebuah jabatan di Putrajaya, Kevin Nyait, 40, memberitahu golongan M40 sebenarnya sudah menikmati banyak manfaat daripada bantuan-bantuan yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, misalnya pada PKP 1.0 dan PKP 2.0.

“Saya bagi contoh mudah, kebenaran yang diberikan kerajaan untuk mengeluarkan wang KWSP dari Akaun Satu atau Dua menerusi i-Lestari dan i-Sinar.

“Ketika mengumumkan pakej PEMULIH baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan pula inisiatif i-Citra, juga kemudahan pengeluaran KWSP.

“Ini adalah sebahagian daripada ekosistem kerajaan untuk memudahkan rakyat, justeru apa yang diterima oleh M40 adalah mencukupi bagi saya.

“Biarlah kerajaan memberikan lebih tumpuan kepada golongan yang lebih memerlukan khususnya dari segi bantuan tunai sebab ramai individu M40 yang mampu, lainlah kalau kehilangan pekerjaan.

“M40 kebanyakannya golongan profesional, mungkin peratusan hilang pekerjaan juga rendah,” ujarnya.

Alyssa Yew, pemilik salon rambut
Alyssa Yew, pemilik salon rambut

Pemilik salon rambut, Alyssa Yew, 28, pula berpendapat, PEMULIH adalah pendekatan kerajaan untuk merealisasikan fasa-fasa PPN dan membawa keluar rakyat daripada kemelut COVID-19.

Menurutnya, bantuan tunai baharu turut diperkenalkan seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pekerjaan (BKP) yang akan memberi manfaat kepada penerima sehingga akhir tahun ini.

“BKC dan BKP turut memberi manfaat kepada golongan M40, bukan B40 semata-mata,” katanya yang gembira PEMULIH turut memperkenalkan inisiatif i-Citra yang disifatkannya sebagai kesinambungan kepada i-Sinar sebelum ini.
Alyssa berkata, beliau bersyukur kerana menerima tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM300 di bawah PEMERKASA+ sebelum ini.

“Selepas ini ada bantuan tunai BKC pula,” katanya merujuk kepada bantuan tunai untuk golongan Miskin B40, B40 dan M40 yang dicadang dibayar pada Ogos, November dan Disember 2021.

Beliau turut menjelaskan, pakej-pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan adalah bersifat melengkapi antara satu sama lain.

“Saya ada membaca banyak yang mempertikaikan kenapa M40 tidak dibantu. Sebenarnya ada, kita boleh tengok pada bantuan-bantuan sebelum ini, misalnya Belanjawan 2021 dan pakej PERMAI, banyak yang M40 dapat.

“Tiada tersisih pun, dalam PEMULIH pun ada. M40 sebenarnya golongan berpendapatan sederhana, justeru wajarlah kerajaan fokuskan golongan yang berpendapatan rendah seperti B40,” katanya lagi.

Alyssa mengakui bantuan kerajaan memberi manfaat kepadanya apabila dapat mengurangkan ansuran bayaran balik pinjaman di bawah PEMERKASA+ sebelum ini kerana perniagaannya turut terjejas.

Beliau tetap bersyukur kerana masih dapat menjalankan perniagaan secara dalam talian buat sementara waktu bagi produk kecantikan rambutnya pada PKP ini, sekali gus menampung perbelanjaan bulanannya.

“Saya juga berharap semua rakyat yang layak akan mendapatkan suntikan vaksin yang merupakan salah satu fokus utama PEMULIH.

“Lagipun, ia adalah prasyarat untuk kita beralih dari satu fasa ke satu fasa PPN. Lebih cepat kita mencapai imuniti kelompok, pasti lebih cepat kita dapat kembali kepada normalisasi,” katanya.

Menurut Jabatan Statistik, isi rumah M40 di Malaysia terbahagi kepada empat kategori, iaitu M1 (pendapatan isi rumah antara RM4,850-RM5,879), M2 (RM5,880-RM7,099), M3 (RM7,110-RM8,699) dan M4 (RM8,700-RM10,959).

Maklumat lanjut mengenai inisiatif dan bantuan di bawah PEMULIH, layari https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat.

  • oleh
  • Advertisement