Anda di sini

Olimpik Tokyo: Zii Jia perlu bijak kawal tekanan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei percaya bahawa pemain perseorangan utama Lee Zii Jia (gambar) mampu melakar kejayaan di Sukan Olimpik yang akan membuka tirai pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini, jika bijak mengawal tekanan.

Menyedari bahawa Zii Jia membawa harapan seluruh rakyat Malaysia dalam penyertaan sulungnya di pentas Olimpik, Chong Wei, pemenang pingat perak tiga kali di temasya berkenaan berkata sangat penting bagi pemain nombor lapan dunia itu membuat keputusan tepat setiap kali melangkah masuk ke gelanggang di Musashino Forest Sport Plaza, terletak di Chōfu, Tokyo.

“Apa-apa saja boleh berlaku di Olimpik dan saya percaya Zii Jia mempunyai peluang tetapi beliau terlebih dahulu mesti tahu bagaimana untuk melepaskan tekanan (pada diri sendiri). Tekanan sentiasa ada di sana,” katanya melalui video yang dimuat naik di saluran Youtube Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Khamis.

 Sementara itu, Chong Wei yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, yakin jurulatih negara Hendrawan akan menggunakan pengalamannya bertanding di Olimpik untuk membantu Zii Jia melakukan persembahan terbaik di negara Matahari Terbit itu. 

“Hendrawan sudah tentu akan membantu Zii Jia meningkat 10 hingga 20 peratus di Olimpik Tokyo nanti,” katanya.

Hendrawan, pernah menyumbang pingat perak untuk Indonesia dalam acara perseorangan lelaki pada temasya Olimpik Sydney 2000, selepas tewas kepada pemain China Ji Xinpeng  4-15, 13-15.

Zii Jia diundi dalam Kumpulan M bersama pemain Perancis Brice Leverdez dan pemain Ukraine Artem Pochtarov pada pusingan awal di Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Acara badminton dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 2 Ogos. - BERNAMA

Advertisement