Anda di sini

Diplomat 48 negara bantah isu pengesanan asalan COVID-19 dipolitikkan

Advertisement
 

GENEVA: Wakil tetap 48 negara menghantar surat kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Geneva (UNOG) pada Khamis menyuarakan sokongan terhadap usaha memperhebat kajian punca SARS-CoV-2 di seluruh dunia dan menentang tindakan mempolitikkan pengesanan asalan penyakit.

Diplomat menegaskan bahawa COVID-19 adalah musuh bersama manusia sejagat dan ia hanya boleh ditewaskan menerusi solidariti dan kerjasama masyarakat antarabangsa, lapor Xinhua.

Kerjasama dalam kajian mengesan dari mana SARS-CoV-2 berasal menjadi aspek penting bagi memerangi pandemik COVID-19, kata mereka menerusi surat itu.

"Seperti yang termaktub dalam ketetapan WHA 73.1 berkaitan respons COVID-19, tujuan pengesanan asalan adalah bagi mengenal pasti sumber zoonotik virus dan cara ia merebak kepada manusia, termasuk kemungkinan wujud perumah yang menjadi perantara."

Diplomat menegaskan kajian asalan penyakit adalah 'perkara sains dan seharusnya dijalankan oleh ahli sains seluruh dunia'.

"Pengesanan dari mana penyakit bermula atau asalan ini seharusnya tidak dipolitikkan. Sebaliknya, kerjasama global mengenai asalan ini akan terhalang dan usaha global memerangi wabak ini akan terjejas," kata mereka.

Diplomat terbabit juga menyambut baik penerbitan Laporan Bersama kajian global WHO bagi mencari asalan SARS-Cov-2 dan menghargai kerja keras kumpulan pakar sains serta menegaskan, kajian asalan penyakit global ini seharusnya berlandas dan berpandukan laporan saintifik ini.

Mereka juga menggesa Sekretariat WHO untuk bekerjasama dengan negara anggota sejajar dengan ketetapan berkaitan Perhimpunan Agung Kesihatan Sedunia (WHA) untuk meningkatkan kajian pengesanan asalan ini dan mengambil langkah efektif bagi menghalang faktor politik menggugat proses kajian. - BERNAMA

Advertisement