Anda di sini

Didenda RM1,500 kerana ugut bunuh ibu

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut bunuh ibu sendiri gara-gara tidak berpuas hati apabila disuruh mencari kerja dan tidak diberi wang. 

Majistret Zubaidah Sharkawi juga mengarahkan tertuduh, Abdul Samad Hassan, 38, agar dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Lelaki tersebut didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh ibunya yang berusia 55 tahun dalam satu kejadian pada 23 Jun lalu di rumah mereka di Kampung Rantau Panjang.

Mengikut keterangan kes, tertuduh tidak berpuas hati dengan mangsa yang sering menyuruhnya mencari kerja, selain tidak diberi duit.

Tertuduh kemudian mengamuk sambil membawa sebilah parang dan mengugut hendak mencederakan serta mengugut bunuh mangsa.

Lelaki itu juga dilaporkan meminta nombor pin kad bank milik mangsa namun mangsa enggan, menyebabkan tertuduh marah dan terus beredar dari rumah.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang penganggur lelaki didakwa mencederakan bapanya dengan membaling sebuah telefon bimbit ke arah muka mangsa kerana marah apabila tidak diberi kunci kereta. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Vincent Ngui, 20, sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Sama dibacakan terhadapnya.

Mahkamah seterusnya menetapkan kes disebut semula pada 27 Julai depan, selain membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan bapanya sebagai penjamin.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan bapanya yang berusia 52 tahun, pada 13 Julai lalu, jam 3 petang di kediaman mereka di Kampung Tabuan Dayak, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh bertindak membaling telefon bimbit ke arah muka mangsa sehingga terkena kening bahagian kiri mangsa.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

Advertisement