Anda di sini

Gelandangan direman berkaitan kes curi beg pakaian

Advertisement
Suspek ketika ditangkap di sebuah pondok tidak bernombor di Desa Pujut semalam kerana disyaki mencuri dua buah beg pakaian kepunyaan seorang lelaki lain.
Suspek ketika ditangkap di sebuah pondok tidak bernombor di Desa Pujut semalam kerana disyaki mencuri dua beg pakaian kepunyaan seorang lelaki lain.

MIRI: Seorang gelandangan yang ditangkap kerana disyaki mencuri dua beg pakaian kepunyaan seorang lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman empat hari.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah mendengar permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Rayhan Albert dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Rayhan berkata pada petang 13 Julai lalu, seorang lelaki yang bekerja sendiri telah membuat laporan di Balai Polis Lutong berhubung kehilangan dua buah beg pakaian miliknya.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 6.30 pagi hari sama di tempat letak kenderaan hadapan sebuah restoran di Lutong, beliau mendapati dua beg pakaian berwarna merah dan biru yang diletakkan di atas motosikal miliknya telah hilang dipercayai dicuri.

Menurut pengadu, dua beg itu mengandungi pelbagai barang miliknya.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 2.50 petang, 14 Julai lalu di sebuah pondok tidak bernombor yang terletak di Lorong Desa Pujut 1H/3 di sini, polis telah menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Rayhan berkata reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 33 tahun dari Sungai Binyo Pandan, Sebauh amat diperlukan untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mengesan barang kes, melakukan ujian saringan air kencing dan juga ujian calitan Covid-19 ke atas suspek.    

Mahkamah membenarkan reman empat hari ke atas suspek sehingga 19 Julai ini.

Advertisement