Anda di sini

Dipenjara lima tahun akibat sentuh payudara cucu saudara 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual dengan menyentuh payudara cucu saudaranya berusia sembilan tahun. 

Hakim Afidah Abdul Rahman juga mengenakan dua sebatan terhadap tertuduh berusia 43 tahun yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan menyentuh payudara mangsa pada 6 Julai lalu di sebuah kampung di Jalan Puncak Borneo. 

Difahamkan, pada waktu kejadian, mangsa cuba melarikan diri daripada tertuduh namun tertuduh masih menghampiri mangsa dan cuba mengulangi perbuatan tersebut. 

Tertuduh juga dikatakan cuba menyentuh bahagin badan lain mangsa.

Justeru, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh hanya membuat rayuan ringkas dengan memohon agar tidak dikenakan hukuman berat. 

Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman tegas berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, dengan mengambil kira kesalahan seksual ini dilakukan terhadap mangsa berusia sembilan tahun. 

Beliau juga menegaskan dengan menjatuhkan hukuman berat, mahkamah menjalankan tanggungjawabnya dengan melindungi kanak-kanak dan anak-anak muda daripada gangguan seksual.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement