Anda di sini

Dibenarkan makan di kedai mulai esok

Advertisement
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini mengumumkan makan di kedai dibenarkan berkuatkuasa esok (16 Julai 2021).

JPBNS dalam kenyataan hari ini berkata, ia selepas Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah mengkaji semula dan menambahbaik Garis Panduan (SOP) di premis makan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

"Hanya operator termasuk semua pekerja yang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksinasi COVID-19 dibenarkan beroperasi secara dine-in. Garis panduan (SOP) terperinci dapat di muat turun melalui laman web rasmi MLGH: https://mlgh.sarawak.gov.my/ 

"Manakala Garis panduan (SOP) bagi sektor-sektor ekonomi peruncitan yang dibenarkan operasi juga dapat di muat turun melalui laman web rasmi MLGH: https://mlgh.sarawak.gov.my/," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jawatankuasa pada masa yang sama memberikan amaran tegas kepada semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi agar sentiasa mematuhi Garis Panduan (SOP) yang sedang berkuatkuasa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

Antaranya menutup serta-merta selama 14 hari jika berlaku penularan kes positif di premis yang dibenarkan beroperasi. 

"Kos-kos saringan dan sanitasi akan ditanggung oleh operator atau pemilik premis. Kita juga akan mengenakan kompaun jika operator/pekerja gagal mematuhi Garis Panduan (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, menurut Garis Panduan (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) menegaskan selain itu pekerja yang dikenalpasti sebagai individu di bawah pengawasan (PUS) adalah tidak dibenarkan bekerja sehingga mereka tamat tempoh kuarantin.

Selain mereka yang diberikan surat pelepasan oleh pihak Kesihatan dan selesai menjalani ujian saringan COVID-19 yang ditetapkan.

"Pekerja tidak dibenarkan untuk makan secara berkumpulan tanpa penjarakan sosial semasa rehat dan sebagainya di tempat yang ditetapkan (dalam premis) oleh majikan.

"Operator premis, pekerja dan pembekal diwajibkan memakai pelitup muka dengan betul mengikut saranan KKM ketika berada di premis selain itu itu operator perlu memastikan aliran pengudaraan di premis adalah baik," katanya.

Sementara itu untuk pelanggan, operator premis perlu memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal 1 meter selain menyediakan pensanitasi tangan atau tempat cuci tangan (termasuk sabun).

Operator premis wajib memaparkan jumlah maksimum pelanggan yang dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa. 

Manakala bagi susun atur atau jarak antara meja adalah dua meter dan kedudukan antara pelanggan perlu penjarakan fizikal satu meter.

"Bagi kapasiti pelanggan dihadkan kepada 50 peratus keluasan lantai dan tidak melebihi 100 orang pada satu-satu masa dan maksimun kapasiti pelanggan dibenarkan dine-in bagi meja berdiameter satu meter adalah dua orang.

"Maksimun kapasiti pelanggan dibenarkan dine-in bagi meja berdiameter 1.2 meter adalah empat orang sementara maksimun kapasiti pelanggan dibenarkan dine-in bagi meja berdiameter dua meter dan ke atas adalah enam orang," katanya. 

SOP berkenaan juga menggariskan susun atur meja dan kerusi tidak boleh diubahsuai sehingga boleh menyebabkan kesesakan dan penjarakan sosial sukar dikawal.

  • oleh
  • Advertisement