Anda di sini

Tiga wanita terlibat judi dalam talian didenda 

Advertisement
 

KUCHING: Dua wanita masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 manakala seorang lagi didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Tertuduh Chong Siaw Pei, 27, Angela Edison dan Dayang Fazila Abdullah yang masing-masing berusia 21 tahun, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan dua Majistret berbeza.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengendalikan mesin perjudian dalam talian pada 25 Jun lalu, jam 11.40 pagi di sebuah premis di Lorong Lapangan Terbang 5, di sini. 

Semasa serbuan dibuat, pihak polis menemui tiga buah komputer yang disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut. 

Hasil siasatan juga mendapati pakar judi mengesahkan tiga set komputer itu sebagai mesin judi. 

Ketiga-tiga mereka seterusnya didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap mesin judi dan boleh dipenjara maksimum lima tahun.

Dalam pada itu, Majistret Zaiton Anuar menetapkan Chong dan Angela masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. 

Sementara itu, Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan Dayang untuk dijatuhi hukuman denda RM12,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam dilaporkan membayar denda tersebut. 

Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin. 

  • oleh
  • Advertisement