Anda di sini

Thailand lulus kit ujian antigen COVID-19 dijual kepada orang awam

Advertisement
 

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK: Rakyat Thailand boleh melakukan ujian COVID-19 di rumah mereka mulai minggu depan apabila kit ujian antigen COVID-19 akan mula dijual di hospital dan klinik yang sah.

Kit ujian ini juga boleh didapati di farmasi yang mempunyai ahli farmasi berdaftar yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) . 

Kelulusan mengenai kit ujian antigen itu turut diterbitkan di dalam Warta Diraja pada Selasa.

Thailand sebelum ini sudah menggunakan kit Real Time Polymerase (RT-PCR) untuk diagnosis.

Namun, disebabkan proses menunggu yang lama di kemudahan saringan terutama di Bangkok, pusat penularan pandemik terbaru, proses itu kini boleh dilakukan sendiri di rumah dan membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Sementara itu, Setiausaha Agung FDA, Dr Paisarn Dunkum, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan untuk memastikan produk berkenaan dijual dengan harga berpatutan.

"Bagaimanapun, kit ujian ini tidak akan dijual dalam talian," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul menyatakan Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Negara (NCDC) meluluskan penggunaan kit ujian antigen itu di 300 hospital dan makmal perubatan yang juga menyediakan ujian RT-PCR disahkan.

Setakat ini, sebanyak 24 jenama kit telah diluluskan FDA.

Sementara itu, kabinet pada Selasa meluluskan bantuan berjumlah 42 juta baht untuk memberi sokongan kewangan kepada perniagaan dan pekerja yang terjejas berikutan pelaksanaan sekatan terbaharu untuk membendung penularan COVID-19. 

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata langkah itu merangkumi pampasan untuk majikan dan pekerja di Bangkok dan sembilan wilayah yang diletakkan di bawah "wilayah kawalan maksimum dan diperketatkan".

"Dianggarkan nilai bantuan adalah 30 juta baht," katanya dalam satu kenyataan.

Bantuan itu terhad kepada sembilan sektor: pembinaan; perkhidmatan penginapan dan makanan; aktiviti seni, hiburan dan rekreasi; perkhidmatan lain seperti dinyatakan Pejabat Keselamatan Sosial; pengangkutan dan gudang; perniagaan borong dan runcit; sokongan pentadbiran dan perkhidmatan; aktiviti sains dan akademik; dan penyiaran dan komunikasi.

Selain itu, katanya kerajaan akan memberikan subsidi utiliti selama dua bulan berjumlah kira-kira 12 juta baht.

Bermula Isnin, di Bangkok dan sembilan wilayah lain tertakluk di bawah kawalan ketat termasuk perintah berkurung dari 9 malam hingga 4 pagi dan penutupan pusat beli-belah selain perhimpunan terhad kepada lima orang untuk mengekang penularan COVID-19. - Bernama 

Advertisement