Anda di sini

Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan mulai hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian kini boleh mengikut kapasiti kenderaan berkuat kuasa hari ini (14 Julai 2021).

Ia susulan daripada prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mula dilaksanakan di negeri ini.

Menurut SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini semalam, bagi pergerakan kenderaan rasmi Jabatan Kerajaan atau kereta rasmi jawatan adalah dibenarkan mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan tersebut.

"Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, bot ekspres, teksi atau e-hailing, kenderaan membawa pekerja seperti bas atau van pekerja dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti penumpang sahaja.

"Bagaimanapun waktu operasi dan kapasiti penumpang juga adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Kementerian Pengangkutan Negeri Sarawak," katanya.

Manakala bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan dan perkhidmatan perlu serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

Di bawah SOP Fasa 2 PPN masih tidak membenarkan pergerakan rentas negeri kecuali selepas mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan permit polis diperlukan. 

Katanya pergerakan rentas negeri untuk masuk ke negeri Sarawak adalah tertakluk kepada kelulusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melalui Aplikasi Enter Sarawak dan Pengisytiharan Maklumat Kesihatan. 

"Pergerakan antara daerah adalah tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan perlu dan mempunyai permit polis atau surat daripada majikan masing-masing.

"Individu yang berisiko tinggi adalah tidak digalakkan keluar rumah manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak tanpa alasan yang munasabah," jelas kenyataan. 

Sementara itu, mengenai Kapasiti Operasi Perkhidmatan Awam adalah tertakluk kepada Pekeliling atau Arahan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak.

Katanya kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor swasta yang dibenarkan termasuk operasi dan pengurusan hanya terhad kepada 50 peratus sahaja pada satu-satu masa kecuali dinyatakan pada mana-mana bahagian SOP ini. 

"Majikan adalah bertanggungjawab untuk menentukan kitaran kerja bagi mematuhi arahan ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement