Anda di sini

Aktiviti rekreasi, sukan tidak bersentuhan orang awam dibenarkan

Advertisement
 

KUCHING: Aktiviti rekreasi atau sukan individu atau yang tidak bersentuhan bagi orang awam dibenarkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sarawak.

Menurut SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini semalam, bagaimanapun ia harus dengan pematuhan SOP Sukan dan Rekreasi yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBSS).

"Aktiviti rekreasi atau sukan individu atau yang tidak bersentuhan bagi orang awam adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP Sukan dan Rekreasi yang dikeluarkan KBSS.

"Selain itu, taman-taman awam adalah dibenarkan beroperasi dengan pematuhan SOP yang dikeluarkan KBSS," katanya.

Tambah kenyataan, aktiviti sukan yang tidak bersentuhan kategori individu dan berpasukan bagi  tujuan aktiviti latihan, permainan, perlawanan dan kejohanan adalah dibenarkan.

Namun katanya, ia tertakluk kepada kelulusan KBSS serta dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"Manakala penganjuran kejohanan atau pertandingan tempatan dan antarabangsa bagi sukan tidak bersentuhan adalah dibenarkan tertakluk kepada kelulusan KBSS. 

"Namun penganjuran adalah secara kuarantin (quarantine based) dan tanpa kehadiran penonton," katanya.

Selain itu, kebenaran kemasukan peserta atau pegawai luar negara ke Malaysia tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia dengan surat sokongan KBSS dan dimaklumkan kepada JPBNS.

Advertisement