Anda di sini

X-Terrain sesuai keadaan geografi Sabah

Advertisement
 Masayuki bersama model X-Terrain ketika pelancaran model terbaru Isuzu D-Max itu baru-baru ini.
X-TERRAIN: Masayuki bersama model X-Terrain ketika pelancaran model terbaru Isuzu D-Max itu baru-baru ini.

# Tempat duduk dalaman selesa, manakala ruang membawa barangan cukup luas

SEPERTI namanya, X-Terrain adalah antara varian terbaik Isuzu D-Max yang sangat sesuai untuk keadaan geografi Sabah yang bergunung-ganang dan berbukit-bukau.


Ini kerana kehebatannya memanjat bukit tidak boleh disangkal lagi. Dipacu dengan kelajuan enjin 3.0 liter turbo, X-Terrain adalah jawapan kepada warga berulang-alik ke kampung yang keadaan bentuk muka buminya  mencabar pemanduan.


Dengan keadaan sebahagian jalan luar bandar di Sabah yang masih belum berturap dan hanya berbatu kerikil atau berlumpur, pacuan X-Terrain sesuai mencengkam jalan sedemikian rupa.


Saya berkesempatan memandu uji D-Max X-Terrain, transmisi enam kelajuan automatik, baru-baru ini, menjelajah hampir kesemua daerah di pantai barat Sabah dan mencuba pelbagai rupa bentuk muka bumi.


Ternyata, inilah antara model lasak tapi bergaya mewah, yang menjadi jawapan kepada peminat pacuan empat roda atau trak pikap, khususnya di Sabah dan negeri jiran, Sarawak.


Memandu di Bandaraya Kota Kinabalu serta daerah Penampang, Putatan, Papar, Beaufort sehingga ke Kuala Penyu, Sipitang dan Keningau, merupakan pengalaman luar biasa dengan X-Terrain.

 Pandangan hadapan Isuzu D-Max X-Terrain yang cukup gagah sesuai selera peminat 4x4 masa kini.
GAGAH: Pandangan hadapan Isuzu D-Max X-Terrain yang cukup gagah sesuai selera peminat 4x4 masa kini.

Dengan varian ini, saya merasakan seperti sentiasa menjadi juara dalam pemanduan.


Pernah beberapa kali saya dengan mudah `overtake' kenderaan lebih besar, begitu juga di jalan berbatu kerikil, X-Terrain tetap meluncur hebat dengan pemandu dan penumpang duduk selesa di dalamnya.


Pada satu kesempatan, saya mendapat tugasan program seorang menteri turun padang ke kawasannya di Membakut. Kawasan dilawati pula memasuki kawasan bersawah padi, tali air yang jalannya berselut lumpur.


X-Terrain mengekori rapat pacuan empat roda VIP berkenaan masuk kampung keluar kampung bersimpang siur tanpa masalah. Memang luar biasa kehebatannya, mengatasi kehebatan model pesaing lain.


Tidak syak lagi, model ini bakal menjadi pilihan dan menguasai pasaran pacuan empat roda atau trak pikap di Sabah dan Sarawak dalam waktu mendatang ini.


Tinjauan pendapat rakan-rakan dan peminat pacuan empat roda dan trak pikap turut memberikan pujian ke atas keluarbiasaan  X-Terrain ini berbanding model sebelumnya, malah ada yang menganggapnya sebagai `pacuan empat roda trak pikap VIP'.

RENDEY SIDOH
RENDEY SIDOH

Peminat kereta, Rendey Sidoh, 28, menyifatkan X-Terrain sebagai model terbaik dan sesuai dengan bentuk muka bumi negeri Sabah.


Katanya, ia sesuai bukan saja sebagai kenderaan penumpang, tetapi juga membawa barangan atau kargo kerana muatan kabinnya yang cukup luas.


"Selain lima tempat duduk  dalam ruang luas dan keadaan selesa, X-Terrain juga boleh memuatkan barangan yang banyak di bahagian belakangnya.


"Maka kalau di Sabah, ini paling sesuai untuk balik kampung. Tempat duduk selesa, ruang barang amat luas," katanya, sambil menyifatkan kekemasan X-Terrain dipertingkatkan lagi berbanding model sebelum ini.

DELYSTER VITUS
DELYSTER VITUS

Seorang lagi pengguna, Delyster Vitus, 28, turut menganggap X-Terrain sebagai `raja pacuan empat roda atau trak pikap' kerana  melihat ciri-ciri luar biasa model ini yang pastinya menarik minat ramai orang untuk memilikinya.


Beliau optimis X-Terrain bakal menembusi pasaran pacuan empat roda berkabin atau trak pikap bagi negeri Sabah dan juga Sarawak apabila ekonomi kembali segar selepas pandemik COVID-19 ini semakin reda nanti.


"Ini kerana ia memang sesuai dengan keadaan negeri ini, misalnya jika ke Kundasang, senang-senang ulangalik bawa sayur-sayuran atau buah-buahan," katanya.


Baginya, X-Terrain menjadi pelengkap kepada sesebuah keluarga yang berasal dari kampung tapi tinggal di bandaraya.


"Dengan kenderaan ini, boleh balik kampung bila-bila masa, angkut barang siang atau malam," tambahnya.


Selain pasaran domestik dalam negara, trend peningkatan juga dicatatkan di peringkat global bagi kenderaan trak pikap ini.


Kenyataan Isuzu Malaysia baru-baru ini menyebutkan jualan Isuzu D-Max serba baru di Malaysia telah melonjak dengan kadar 100% peningkatan untuk tempahannya sejak ia mula diperkenalkan.


Ini juga sekaligus mencerminkan fenomena global yang menyaksikan kenaikan ketara permintaan terhadap trak pikap terbaru yang sarat penambahbaikan ini.


Purata tempahan dalam sebulan yang diterima kini lebih daripada 1,200 unit bagi model terbaru ini sejak ia dilancarkan pada April tahun ini, mencatatkan lonjakan berbanding purata bulanan sebelum ini yang hanya 500 unit.


Corak sama turut dikongsi bersama pasaran lain seperti Australia, New Zealand dan Thailand yang menyaksikan pertumbuhan jualan juga semakin tinggi dengan pelanggan tidak melepaskan peluang untuk memilikinya, didorong oleh rekaan sporty dan segar, aspek ergonomik yang diperkaya serta kejuruteraan yang diperkemas padanya.


Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki, mengakui fenomena D-Max serba baru ini yang melanda beberapa pasaran adalah sesuatu yang membanggakan.


"Dengan rekaan menarik, tambahan ciri baru dan ciri dipertingkatkan padanya serta reputasi Isuzu yang sudah terbukti turut sama menyumbang untuk meyakinkan pelanggan agar beralih ataupun menaik taraf kepada model D-Max terbaru ini," katanya.

 Rim 18 inci dengan kemasan warna hitam menampakkan Isuzu D-Max X-Terrain lebih 'sporty'.
SPORTY: Rim 18 inci dengan kemasan warna hitam menampakkan Isuzu D-Max X-Terrain lebih 'sporty'.

Beliau berkata model flagship terbaru — X-Terrain — dikuasakan oleh enjin 3.0 liter yang dipertingkat dan menawarkan lebih banyak penambahbaikan sekaligus prestasi lebih baik juga menjadi pilihan di kalangan pembeli di seluruh negara.


Ia mengisi 17 peratus daripada jumlah keseluruhan. Walaupun dengan kadar cukai jalan lebih mahal, lebih separuh daripada jualan X-Terrain datangnya dari Semenanjung, dengan pelanggan ingin memanfaatkan kelebihan penawaran yang ada padanya.


Antarana  Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan ciri keselesaan, kehalusan serta kabin intuitif, rekaan sporty dan menonjol serta pengendalian yang cekap baik di atas jalan berturap mahupun offroad, menjadikannya pilihan bagi pelanggan yang ingin memenuhi aspek gaya hidup.


Katanya, dengan Isuzu D-Max serba baru telah mula menawarkan pilihan untuk memenuhi segmen gaya hidup dalam pasaran tempatan, 81 peratus daripada pembeli baru menyatakan bahawa mereka akan menggunakan trak pikap mereka bagi kedua-dua tujuan kerja dan santai sekaligus, suatu hal yang tentunya sangat boleh dilakukan dengan kualiti produk lasak seperti yang dihasilkan Isuzu.


"Penerimaan terhadap model baru ini sangat positif, mengambil kira kekangan yang kita hadapi ketika ini untuk mendekati dan mengalami sendiri kelebihannya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan protokol keselamatan yang dikenakan ketika ini.


"Sasaran semasa kami adalah untuk memastikan serahan trak pikap ini berjalan lancar, selamat dan tepat masa kepada pemiliknya, walaupun dalam mendepani cabaran pengurusan serta logistik baik di pasaran tempatan mahupun global," tambah Suzuki.


Beliau mengakui bahawa Isuzu D-Max serba baru telah berhasil mengubah corak penawaran dan penerimaan dalam pasaran, dengan gabungan penawaran pelbagai varian untuk keperluan berbeza, membolehkan kegunaan mengikut keperluan individu yang juga pelbagai.

 Bahagian belakang Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 yang luas dilengkapi dengan tray yang memudahkan pengguna memunggah barang dengan mudah.
MUDAH: Bahagian belakang Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 yang luas dilengkapi dengan tray yang memudahkan pengguna memunggah barang dengan mudah.

Untuk mengetahui lebih lanjut, pengalaman augmented reality ada disediakan untuk pelanggan yang boleh ditinjau dari rumah pada bila-bila masa, dengan selamat. Semak perincian Isuzu D-Max serba baru di pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia

Terima kasih kepada Isuzu Malaysia kerana memberi peluang saya memandu uji D-Max generasi ketiga, X-Terrain, yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

  • oleh
  • Advertisement