Anda di sini

Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN mulai 14 Julai ini

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 14 Julai 2021, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). 

Menurut jawatankuasa itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBNS telah membuat penilaian risiko dan mengambil kira nilai-nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator PPN. 

"Ekoran daripada itu, MKN dan JPBNS bersetuju bahawa Sarawak telah bersedia untuk beralih ke Fasa 2 PPN mulai 14 Julai 2021 (12.01 tengah malam)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya, garis panduan (SOP) yang sedia ada masih berkuat kuasa sehingga 13 Julai 2021 (11.59 malam). 

Tambahnya, JPBNS telah memuat naik infografik SOP 'Pelan Perjalanan Sarawak Menuju Pemulihan: 4 Fasa' bagi memudahkan orang ramai memahami kebenaran serta larangan SOP dari satu fasa ke fasa berikutnya yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh keempat-empat fasa di Sarawak. 

"SOP yang terperinci bagi fasa-fasa tertentu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dapat di muat turun dari laman web: 
https://www.mkn.gov.my," ujarnya. 

Sehubungan itu, JPBNS mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang bekerjasama untuk membolehkan Sarawak beralih ke Fasa 2. 

"Terima kasih juga diucapkan kepada semua para petugas dan pihak yang telah bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran proses pemberian vaksin di seluruh Sarawak.

"Orang ramai diseru agar terus mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan kendiri yang ketat supaya rantaian COVID-19 ini dapat kita putuskan secepat mungkin," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement