Anda di sini

Sokongan GPS terhadap PM tepat, bantu keluar dari krisis COVID-19 demi rakyat 

Advertisement
 

KUCHING: Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf A. Suffian menyambut baik pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kekal menyokong kerajaan PN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar). 

Jelasnya, pandangan Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sangat wajar dan jelas memfokus kepada rakyat iaitu ketika ini bukan masa untuk berpolitik sebaliknya menumpukan usaha menangani krisis akibat pandemik COVID-19.

"Saya sebagai Pengerusi PN Sarawak dan seluruh kepimpinan PN Sarawak ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS di atas kenyataan beliau untuk kekal dengan pendirian menyokong kerajaan PN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

"Saya juga sangat bersetuju bahawa ini masa untuk kita menyelamatkan serta membangunkan negara dan bukan masa yang betul untuk berpolitik sehingga boleh mengganggu urusan pentadbiran yang kini cukup terbeban akibat pandemik," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Jaziri memberitahu, strategi keluar daripada pandemik COVID-19 ini adalah Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

"Oleh itu, kita harus mengambil peranan di semua peringkat untuk memastikan ia berjaya. 

"Semua ahli Parlimen perlu berfikiran matang dan bersatu untuk membantu negara keluar dari krisis COVID-19 dan jangan terperangkap dengan kerenah politik ketika ini yang hanya akan membuatkan rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik ini semakin marah," tambahnya. 

Sehubungan itu, tegasnya keutamaan buat masa kini adalah memberi fokus untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat serta membangunkan semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID- 19 ini. 

"Sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari adalah amat signifikan serta menunjukkan keikhlasan dan kesetiaan sebagai sahabat demi negara dalam mengukuhkan kestabilan politik serta menangani pandemik COVID-19," jelasnya. 

Namun, katanya, apa yang paling penting, kepentingan dan kebajikan masyarakat yang semakin terhimpit akibat pandemik perlu diletakkan sebagai keutamaan termasuk dalam soal program vaksinasi bagi membolehkan semua dapat kembali hidup seperti sedia kala.

"Saya juga ingin menyatakan syabas kepada kerajaan negeri kerana usaha bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan vaksin yang cukup efektif terutamanya di kawasan pendalaman," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement