Anda di sini

Zainal Abidin rangkul Anugerah Sastera Negeri Sarawak

Advertisement
 Zainal Abidin pemenang Anugerah Sastera Negeri Sarawak Ke-10.
TAHNIAH: Zainal Abidin pemenang Anugerah Sastera Negeri Sarawak Ke-10.

SIBU: Zainal Abidin Suhaili telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negeri Sarawak semasa penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak Ke-10 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak secara Zoom semalam.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee.

Zainal membawa pulang wang tunai RM20,000, watikah penghormatan Kerajaan Sarawak serta kemudahan untuk menulis dan menerbitkan karya seni serta kemeja-T.

Allahyarham Awang Bujang Awang Hamdan pula menerima Anugerah Khas Bahasa dan Kesenian yang membawa hadiah wang tunai RM6,000, watikah penghormatan kerajaan negeri dan kemeja-T.

Anugerah Penulis Sarawak pula milik Abang Median Abang Said (genre Novel dan Cerpen) dan Ja’afar Hamdan (genre Puisi dan genre Esei Kritikan).

Manakala Janang Ensiring memenangi Anugerah Penulis Sarawak untuk kategori bahasa Iban.

Penerima Anugerah Penulis Sarawak masing-masing akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, watikah penghormatan kerajaan negeri dan kemeja-T.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai berkata, selain daripada anugerah yang diberikan terdapat banyak anugerah lain yang diwujudkan khas untuk para penulis di Sarawak.

“Semua anugerah yang kami wujudkan adalah untuk mencari bakat dalam kalangan anak muda dan pelajar.

“Kami juga mengadakan bengkel untuk memberikan kemahiran kepada masyarakat di negeri ini,” katanya sambil menambah bahawa penghargaan terbesar adalah Anugerah Bintang Kenyalang untuk memberi pengiktirafan kepada para seniman di negeri ini.

Beliau juga memberitahu, DBP turut berusaha melalui media sosial untuk menanam kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat.

“Namun kami juga memerlukan sokongan daripada orang ramai untuk memastikan bahawa usaha kami berjalan lancar dan mencapai matlamat dalam menanam semangat kecintaan terhadap bahasa Malaysia, selain mempromosikan penggunaan bahasa yang baik,” katanya.

Advertisement