Anda di sini

Kapit, Telang Usan diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika

Advertisement
 

KUCHING: Bahagian Kapit dan Daerah Telang Usan di Miri diisytihar sebagai kawasan kawalan Demam Babi Afrika (ASF) berikutan laporan berita penularan virus berkenaan di Wilayah Nunukan dan Krayan di Kalimantan Utara, Indonesia.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud berkata Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas memutuskan perkara itu memandangkan Kapit dan Telang Usan berada berhampiran dengan wilayah-wilayah tersebut.

Dr Adrian menambah, arahan itu dibuat di bawah Seksyen 35 (1)(b) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Beliau berkata orang ramai termasuk penternak babi di kawasan kawalan penyakit ASF ini dinasihat tidak memberi makanan kepada babi, membawa keluar atau masuk babi hidup, daging babi atau produk babi ke kawasan kawalan ASF dikenal pasti.

Selain itu katanya orang ramai termasuk penternak tidak boleh membawa, membeli secara dalam talian atau menghantar babi atau sebarang produk babi ke dalam dan keluar kawasan kawalan virus.

"Pada masa sama, penternak, khasnya perlu melapor segera jika berlaku sebarang kematian mengejut babi mana-mana aktiviti haram melibatkan babi dan produk babi kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat.

"Meningkatkan sanitasi ladang serta kawasan sekitarnya menggunakan pembasmi kuman, mencuci dan membasmi kuman semasa bersentuhan dengan haiwan atau produk haiwan berkenaan.

"Elakkan juga babi peliharaan bersentuhan dengan babi hutan dengan meningkatkan halangan fizikal, terakhir elakkan daripada mengunjungi ladang-ladang babi dan tidak menggalakkan pengunjung ke ladang babi," tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Adrian berkata sebarang babi atau produk babi dibawa atau ditawarkan untuk dijual atau dijual bertentangan dengan arahan ini, boleh dirampas atau dimusnahkan oleh Pihak Berkuasa Veterinar Negeri.

Ujarnya lagi, daging babi atau produk babi yang dirampas atau disita di bawah Seksyen itu, tidak akan dibayar pampasan.

"Kegagalan mematuhi arahan ini akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000," katanya.

Dr Adrian berkata penternak babi di bahagian lain juga dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga dan memperketatkan lagi keselamatanbio serta tidak menggalakkan pelawat datang ke ladang ternakan.

"Sila laporkan kepada Pejabat Veterinar Bahagian berdekatan segera sekiranya berlaku kematian tidak normal membabitkan ternakan atau WhatsApp ke 016-284 0918.

"Kami juga mahu memaklumkan kepada orang ramai terutamanya di Kapit dan Telang Usan tidak membeli atau menjual atau menyimpan (secara fizikal atau dalam talian) babi hutan dan daging babi hutan bagi mengelak berlakunya penularan virus ASF.

"Kita meminta kerja sama daripada semua pihak. Ingin dimaklumkan membawa babi atau produk babi dari Indonesia tanpa permit daripada Pihak berkuasa Veterinar Negeri satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (1) Ordinan sama," jelasnya.

Dr Adrian berkata sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan atau penjara tidak lebih dua tahun.

Menurutnya setakat ini, babi diternak di Sarawak masih bebas daripada virus ASF.

"Orang ramai diberi jaminan babi di pasaran negeri selamat dimakan kerana virus Deman Babi Afrika ini bukan penyakit zoonotik dan tidak menjangkiti manusia. JPVS akan melakukan pengawasan dan kawalan di sempadan secara berterusan di seluruh negeri," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement