Anda di sini

Golden Globes benar filem bahasa asing, animasi bertanding

Advertisement
 

GOLDEN Globes baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka kini membenarkan filem bahasa asing dan animasi untuk bertanding dalam anugerah utama rancangan Hollywood itu.

Pihak penganjur menggubal semula selepas Globes terlibat dalam skandal menyaksikan NBC membatalkan majlis tahun hadapan ekoran banyak kritikan tentang kepelbagaian dan ketelusan kumpulan tersebut.

Antara cemuhan yang dilemparkan kepada Persatuan Akhbar Luar Negeri Hollywood (HFPA), ramai penonton marah selepas ‘Minari’, filem berkisarkan kehidupan imigran dalam bahasa Korea namun dirakam di Arkansas, diletakkan dalam  kategori bahasa asing semasa majlis tahun ini.

Ia tidak dibenarkan untuk bertanding dalam komedi terbaik dan drama terbaik, yang merupakan antara anugerah utama Globes. Begitu juga dengan ‘Parasite’, filem terbaik Oscar tahun sebelumnya.

“Kami telah mengkaji semula garis panduan serta mendengar pendapat industri, kami memutuskan untuk mengambil pendekatan baharu dalam rancangan masa depan bagi memastikan filem-filem ini mendapat pengenalan yang layak diterima,” kata presiden HFPA Ali Sar.

“Bahasa tidak akan lagi menjadi sempadan untuk penamaan filem terbaik.”

Dengan 90 wartawan mengundi dalam anugerah filem dan televisyen Tinseltown, HFPA telah beberapa bulan menerima tuduhan perkauman, seksime, buli dan rasuah dalam kalangan mereka.

 Youn Yuh-jung (kanan)  dalam filem ‘Minari’. — Gambar AFP
DIIKTIRAF: Youn Yuh-jung (kanan) dalam filem ‘Minari’. — Gambar AFP

Bulan lepas, kumpulan itu meluluskan permintaan penggubalan untuk menjadi “lebih merangkumi dan pelbagai”, dengan harapan untuk menghentikan publisiti negatif tersebut.

Namun kecaman amat kuat, bintang seperti Scarlett Johansson dan Tom Cruise mengutuk perubahan mereka terlalu perlahan, kurang spesifik dan gagal untuk mengutarakan masalah besar industri tersebut.

Dua ahli HFPA telah meletak jawatan, menggelar kumpulan itu “toksik.”

Pada Rabu lepas, HFPa menjelaskan majoriti ahli mereka telah “melengkapkan latihan diversiti, keadilan dan penglibatan, serta langkah besar telah dilakukan dalam mengubah semula organisasi itu.”

Perubahan termasuklah menegah ahli kumpulan daripada menerima cenderamata, melantik penasihat diversiti serta menubuhkan hotline untuk aduan.

Namun persoalan masih timbul sama ada industri akan menerima sikap HFPA, menyaksikan Netflix dan Warner Bros berikrar untuk tidak bekerjasama dengan mereka selagi perubahan besar tidak dilaksanakan. — AFP

Advertisement