Anda di sini

Dasar 4IR Negara bakal mentransformasi pembangunan sosioekonomi Malaysia

Advertisement
Dato' Sri Mustapa bin Mohamed (kiri) dan Khairy Jamaluddin.
Dato' Sri Mustapa bin Mohamed (kiri) dan Khairy Jamaluddin.

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara bagi mempertingkatkan keupayaan sekali gus memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR.

Dasar 4IR Negara digubal menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan supaya rakyat memanfaatkan teknologi, selain mengekalkan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Ia juga melengkapi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital.

Strategi dan inisiatif di bawah Dasar 4IR Negara akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato' Sri Mustapa bin Mohamed, Dasar 4IR Negara diperkenalkan dengan matlamat meningkatkan kesediaan negara dalam memanfaatkan potensi 4IR.

Ia juga bertujuan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan.

“Dasar itu mengandungi empat teras utama yang menyasarkan tiga kumpulan iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

“Empat teras ini akan melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR, membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya disesuaikan dengan perubahan teknologi, dan mempercepat inovasi serta penerimagunaan teknologi 4IR.

“Keempat-empat teras dasar ini akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.

“Teras ini akan dilaksana berpandukan 16 strategi, 32 inisiatif nasional dan 60 inisiatif sektoral yang telah dikenal pasti.

“Bagi mengurangkan potensi risiko berkaitan sosial yang wujud daripada 4IR, elemen kepercayaan, inklusiviti, keselamatan siber, etika dan nilai akan diterapkan dalam semua inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dasar 4IR Negara yang turut disempurnakan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin secara maya pada 1 Julai 2021.

Tambah beliau lagi, Dasar 4IR Negara ini bukan sahaja melibatkan penambahbaikan kepada inisiatif sedia ada, malah turut memuatkan beberapa inisiatif baharu merangkumi empat bidang tumpuan iaitu modal insan, infrastruktur, peraturan dan inovasi.

“Walaupun 4IR dilihat akan memberi cabaran kepada tenaga kerja yang disebabkan oleh automasi, penggunaan robot dan Kecerdasan Buatan (AI), peluang-peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan kualiti hidup.

“Bakat muda yang dilengkapi dengan pengetahuan dan keupayaan adalah penting untuk meningkatkan daya saing perniagaan dalam landskap ekonomi global yang sangat kompetitif dan dinamik.

“Usaha untuk meningkatkan bilangan bakat mahir negara yang boleh memenuhi permintaan industri tempatan dan global disokong oleh beberapa pihak.

“Antaranya, Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) dan Aerodyne Group yang telah menandatangani memorandum persefahaman pada April 2021 lalu di Cyberjaya.

“Kerjasama ini melibatkan latihan kepada 2,000 belia untuk terlibat dalam industri dron dan data termaju,” katanya.

Tambah Mustapha, inisiatif membangunkan Dasar 4IR Negara dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk mempersiapkan masyarakat dan perniagaan menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang terbit daripada revolusi perindustrian ini.

“Bagi meningkatkan kadar penggunaan teknologi 4IR yang bersifat disruptif, pendekatan ‘future by design’ seperti ‘venture builder’ perlu digunakan dengan pembangunan ekosistem yang kondusif dan inklusif merangkumi rantaian bekalan dan nilai untuk membolehkan pihak industri mencipta produk-produk bernilai tinggi yang bersesuaian dengan kehendak pasaran tempatan dan global. 

“Melalui pendekatan ‘quadruple helix’ pula, pelbagai peluang baharu yang memacu ke arah keseimbangan sosioekonomi yang mampan.

“MOSTI sentiasa menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pembangunan teknologi.

“Dasar 4IR Negara saling melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030) yang membawa agenda pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi yang disepadukan dengan pengukuhan ekonomi di bawah konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

“Bagi menyokong pelaksanaan DSTIN untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, rangka kerja 10-10 MySTIE yang menyenaraikan 30 bidang keutamaan sains, teknologi dan ekonomi yang mewakili 10 pemacu sosioekonomi telah diperkenalkan.

“10-10 MySTIE diformulasi bagi mengenal pasti jurang di antara hasil R&D dan keperluan industri serta membantu dalam mengenal pasti isu dalam pengkomersilan produk, teknologi dan perkhidmatan,” katanya.

Mustapha berkata, menerusi Dasar 4IR Negara, rakyat, perniagaan dan kerajaan dapat memanfaatkan peluang pertumbuhan dan menangani risiko yang wujud daripada 4IR. 

“Kemunculan teknologi baharu seperti robotik, AI dan Internet Benda (IoT) telah mengubah cara dunia beroperasi. Teknologi 4IR juga telah membantu usaha memerangi pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

“Melalui pelaksanaan Dasar 4IR Negara, Indeks Kesejahteran Rakyat Malaysia (MyWI) disasarkan meningkat kepada 136.5 pada tahun 2030, berbanding 124.4 pada tahun 2018.

“Malaysia juga disasarkan untuk berada pada kedudukan 20 teratas dalam Global Innovation Index pada tahun 2030 serta mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti merentas semua sektor berbanding pada tahun 2020.

“Dasar 4IR Negara hanya akan dapat dicapai apabila pihak berkepentingan utama memainkan peranan masing-masing secara aktif dan kerjasama yang kukuh antara rakyat, sektor swasta dan kerajaan dijalin.

“Sektor swasta dan masyarakat memainkan peranan dalam memacu agenda 4IR negara dengan menerajui pendekatan yang bertanggungjawab dan mampan.

“Peranan utama kerajaan adalah untuk menetapkan dasar dan rangka kawal selia yang bersesuaian supaya perniagaan dan masyarakat mendapat akses yang saksama kepada peluang dan manfaat sosioekonomi yang wujud daripada 4IR,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement