Anda di sini

Astro Ria angkat genre sukan dalam drama ‘Ratu Ten Pin’

Advertisement
 

DRAMA bersiri ‘Ratu Ten Pin’ ialah sebuah naskhah asal yang mengetengahkan penceritaan bertemakan sukan boling terbitan syarikat produksi JS Pictures. Drama 16 episod ini turut mendapat sentuhan Azman Yahya atau lebih sinonim dengan panggilan Jinggo selaku pengarah serta Rozse Faisal dan Chinta Adeesha selaku penulis skrip.

Drama ‘Ratu Ten Pin’ menampilkan Elisya Sandha, Syaidatul Afifah dan Fify Azmi selaku teraju utama. Antara nama-nama besar lain yang membintangi drama menarik ini termasuklah Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati.

Lebih istimewa lagi, ratu ten pin boling negara yang juga merupakan bekas juara dunia, Shalin Zulkifli turut dilantik sebagai penasihat teknikal untuk drama ini agar dapat berkongsi kepakaran sekaligus memberi informasi yang lebih tepat berkenaan teknik sukan boling.

Drama ‘Ratu Ten Pin’ kini bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 28 Jun lepas secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal dalam satu kenyataan berkata, “Selepas berakhirnya drama ‘Scammer’ yang baru sahaja tamat minggu lalu, kami sekali lagi cuba lari daripada kebiasaan dan memilih untuk mengangkat genre sukan kepada audiens kami sebagai subjek utama intipati penceritaan naskhah pada kali ini.

“Walaupun genre sebegini mungkin jarang kami pertontonkan, namun ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri dan dilihat mampu menarik minat peminat drama Melayu tempatan khususnya. Acara sukan dan program hiburan sebenarnya mempunyai elemen persamaan iaitu kedua-duanya bukan sekadar untuk dinikmati atau ditonton bersama tetapi ia juga bersifat sebagai ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat.

“Penceritaan drama Ratu Ten Pin banyak menyuntik nilai-nilai murni untuk memberi inspirasi kepada kita semua terutamanya berkenaan semangat kesukanan, perjuangan, persahabatan, kecekalan dan sebagainya dalam bentuk hiburan santai.

“Tahniah saya ucapkan kepada Jinggo selaku pengarah dan keseluruhan team produksi kerana berjaya merealisasikan drama ini menerusi penceritaan yang kreatif dan di luar kotak. Semoga drama ini sekali lagi mengulangi kejayaan drama-drama sebelum ini sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri. Semoga terhibur!.,” katanya.

Sementara itu Jinggo selaku pengarah drama ‘Ratu Ten Pin’ dalam kenyataan media yang sama berkata, “Secara keseluruhannya, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan barisan pelakon yang terlibat kerana kesemua mereka telahpun memberikan kerjasama yang sepenuhnya sepanjang proses penggambaran berlangsung.

“Proses pembikinan drama yang mengangkat genre sukan bukanlah mudah. Tumpuan atau penekanan penuh perlu diberikan untuk setiap babak yang ingin dihasilkan kerana ia melibatkan sesuatu yang di luar konteks. Menterjemahkan sesebuah visual melalui skrip juga merupakan antara cabaran paling sukar sebagai pengarah. Bukan itu sahaja, cabaran untuk menjadikan seorang atlet kepada seorang pelakon dan sebaliknya juga merupakan sebuah kejayaan yang tidak sangka dapat dilakukan dalam tempoh masa cuma sebulan.

“Bagi mendapatkan ‘feel’ sebenar, kami turut membawa masuk khidmat atlet luar biasa bertaraf dunia untuk sukan boling iaitu Shalin Zulkifli untuk membantu kami daripada segi teknikal. Kami juga turut mendapatkan bimbingan pasukan boling yang sebenar untuk melatih barisan pelakon agar lakonan menjadi lebih mantap dan tidak Nampak seperti dibuat-buat.

“Pengalaman menyiapkan drama Ratu Ten Pin sewaktu pandemik melanda cukup manis dan berharga terutamanya apabila urusan kami turut dipermudahkan. Kami juga amat bernasib baik kerana aktiviti penggambaran untuk drama ini telahpun mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang terlibat,” katanya.

Drama ‘Ratu Ten Pin’ mengisahkan tentang tiga wanita muda yang berasal dari latar belakang keluarga yang berbeza, mengejar gelaran Ratu Ten Pin Negara.

Walaupun datang dari keluarga berpendapatan rendah, zaman kanak-kanak Norma penuh dengan botol kaca kosong dan buah kelapa yang dijadikan sebagai alat permainan boling. Disebabkan selalu dan pandai bermain boling, dia dikenali sebagai pemain boling yang sangat berbakat di kalangan kawan-kawannya di kampung.

Apabila sudah dewasa, dia berpindah ke Kuala Lumpur bersama sahabat baiknya dan mula bekerja untuk membantu keluarga dalam menampung perbelanjaan di kampung. Nasib Norma berubah apabila dia menjejakkan kakinya buat pertama kali di pusat permainan boling.

Reesz yang datang dari keluarga sederhana, dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Sebagai anak perempuan bekas juara boling, Maznah menaruh harapan tinggi agar Reesz mengikuti jejak langkahnya. Namun, Reesz lebih berminat dalam bidang reka bentuk grafik dan permainan mudah alih. Di rumah, Reesz berhadapan dengan keganasan rumah tangga apabila bapanya masih sukar untuk menerima hobi ibunya dalam sukan boling sehingga merasakan dirinya diabai. Pergaduhan itu berlarutan sehingga melibatkan penderaan fizikal. Reesz membuat keputusan untuk belajar bermain boling untuk menggembirakan ibunya.

Dilatih secara profesional, Sandra mempunyai pengalaman yang paling banyak di antara mereka bertiga dan pernah memenangi kejohanan boling bawah umur peringkat kebangsaan. Dibesarkan dalam gaya hidup serba mewah, dia sudah terbiasa untuk mendapatkan apa yang dia inginkan. Dia merasakan yang dia berhak dipilih untuk skuad kebangsaan boling walaupun prestasinya tidak konsisten. Sikap dan agendanya yang tersembunyi ini boleh menjadi halangan untuk merosakkan prestasinya dalam skuad kebangsaan boling nanti.

Untuk memenangi gelaran Ratu Ten Pin Negara bukan lah sesuatu yang mudah seperti yang disangkakan. Ketiga-tiga wanita muda itu bertanding walaupun terpaksa berhadapan dengan konflik sendiri dalam masa yang sama.

Advertisement