Anda di sini

‘The Garden Of Evening Mists’ akan ditayangkan di Jepun

Advertisement
 

FILEM terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan dengan Kerjasama dari CJ Entertainment, ‘The Garden of Evening Mists’ (TGOEM) bakal ditayangkan di Shibuya Euro Space, Jepun bermula 24 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro dan merangkap selaku Penerbit Eksekutif TGOEM, Henry Tan, berkata, “Kami rasa amat teruja filem ini akan ditayangkan di Jepun. TGOEM mengangkat kisah yang berlatarkan Malaysia dan dijayakan oleh gabungan hebat barisan pelakon serta tenaga kru profesional dari Malaysia dan luar negara seperti Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia, United Kingdom.”

Senarai ini termasuklah pengarah berbakat besar dari Taiwan, Tom Lin, pemenang penulis skrip terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith, pelakon filem wanita terbaik Hong Kong, Sinje Lee, pelakon lelaki terbaik Jepun, Hiroshi Abe, penyanyi dan pelakon lagenda Taiwan, Sylvia Chang, pelakon terkenal Britain David Oakes, Julian Sands dan pelakon Scotland, John Hannah.

“Kami berharap filem yang membawa elemen cinta dan kemaafan yang berlatarkan pelbagai era ini, mampu menambat hati penonton di Jepun seperti mana filem ini telah meninggalkan kesan kepada penonton-penonton dari pelbagai negara sebelum ini. Filem “Asia semakin mendapat perhatian antarabangsa, jadi Astro akan terus komited dalan mempersembahkan lebih banyak filem yang mengangkat Asia dan penceritaan oleh bakat-bakat kreatif dari Asia sendiri,” katanya.

Sementara itu Pengarah TGOEM, Tom Lin pula berkata, “Saya rasa sangat teruja apabila mendapat tahu filem TGOEM akan ditayangkan di negara Jepun. Meskipun terdahulu tiga buah filem yang diarahkan oleh saya pernah ditayangkan di negara tersebut, namun kali ini perasaannya berbeza dan sedikit gementar untuk melihat penerimaannya.

“Filem TGOEM mengangkat subjek yang berat, tetapi ia juga sarat dengan cinta, empati, pengorbanan dan penebusan kesilapan lalu. Saya berharap filem ini mampu meninggalkan kesan kepada penonton,” tambahnya.

 

Manakala, pelakon utama TGOEM, Hiroshi Abe menyatakan bahawa selepas membaca skrip filem, beliau sentiasa berhubung hampir setahun dengan pengarah Tom Lin dan kemudian barulah bersetuju untuk terlibat dalam filem tersebut.

“Saya banyak membuat rujukan mengenai latar belakang sejarah menerusi buku dan dokumentari. Watak Aritomo merupakan pekebun bagi taman Jepun dan juga pengukir. Bagi menyampaikan budaya Jepun menerusi watak ini, saya telah mendapat bimbingan daripada pihak yang pakar dalam perkebunan, pengukiran dan guru yang mahir dengan teknik dalam budaya upacara minum teh.

“Karakter Aritomo dilihat penuh misteri, tetapi watak tersebut mempunyai estetika seperti Bushido dan mempunyai sihat empati. Karakter itu amat dekat dengan diri saya sendiri jadi mudah untuk saya bawakan karakter tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pengarah Tom Lin ada memberitahunya bahawa ini bukanlah filem perang yang secara terang tonjolkan siapa jahat dan siapa baik. Tetapi, ia adalah sebuah filem cinta yang mempamerkan insan yang lalui keperitan dan akhirnya memaafkan antara satu sama lain menerusi cinta.

“Saya ingin mengajak orang di luar sana untuk menonton filem ini,” tambah Hiroshi Abe lagi.

Berlatar belakangkan sejarah Malaysia dalam Perang Dunia II, cinta menyayat hati ini bermula apabila Teoh Yun Ling bertemu dengan Nakamura Aritomo dan dia menerima sahutan Yun Ling untuk menghasilkan taman berinspirasikan taman Jepun bagi merealisasikan impian adik perempuan Yun Ling yang telah terkorban.

Mereka mula tertarik antara satu sama lain meskipun berbeza budaya. Tiga puluh tahun kemudian, Yun Ling menjadi hakim wanita di Malaysia dan mengendalikan kes persekutuan. Apabila mendapat tahu lelaki yang pernah dia cintai, Nakamura Aritomo adalah salah seorang perisik khazanah, Yun Ling membuat keputusan untuk mencari bukti dan mengimbau memori lalu.

HENRY TAN
HENRY TAN

TGOEM menjalani sesi penggambaran di Malaysia seperti Cameron Highland, Sungai Lembing, Klang. Sementara itu, filem ini adalah adaptasi daripada novel yang juga menggunakan judul The Garden of Evening Mists.

Penulis novelnya, Tan Twan Eng pernah menerima anugerah 2013 Man Asian Literary Prize dan Walter Scott Prize bagi kategori fiksyen sejarah pada tahun 2013 serta pernah disenarai pendek dalam 2012 Man Booker Prize.

TGOEM menggabungkan tenaga-tenaga profesional dari Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan UK. Pengarahnya, Tom Lin yang merupakan antara pengarah terbaik di Taiwan manakala skrip oleh Pemenang Penulis Skrip Terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith.

Selain itu, turut membariskan pelakon handal seperti pelakon dari Malaysia, Lee Sinje yang pernah membintangi filem The Eye, Hiroshi Abe (After the Storm) dari Jepun, Sylvia Chang (Love Education) dari Taiwan, David Oakes (Cold Skin) dan Julian Sands (‘The Girl with the Dragon Tattoo’) dari Britain dan John Hannah (The Mummy) dari Scotland.

Terdahulu, TGOEM telah berjaya merangkul anugerah Rekaan Kostum & Solekan Terbaik di anugerah berprestij, 56th Golden Horse Awards.

Lebih membanggakan, TGOEM adalah filem pertama Malaysia mendapat sembilan pencalonan, Filem Terbaik (Astro Shaw Sdn. Bhd & HBO Asia), Pengarah Terbaik (Tom LIN Shu-yu), Pelakon Wanita Terbaik (Lee Sinje), Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Richard SMITH), Sinematografi Terbaik (Kartik VIJAY), Arahan Seni Terbaik (Penny TSAI Pei-ling, LUM Heng-soon, CHEN Hsuan-shao), Rekaan Kostum & Solekan Terbaik (Nikki GOOLEY, Biby CHOW, Penny TSAI Pei-ling, Nina EDWARDS), Skor Muzik Asal Terbaik (Onn SAN), dan Penyunting Filem Terbaik (SOO Mun-thye).

TGOEM turut melakar sejarah yang tersendiri apabila membuat penampilan antarabangsa dengan mengadakan tayangan di 24th Busan International Film Festival (BIFF) dan tiket habis dijual. Selain itu, turut dipertontonkan di 16th Hong Kong Asian Film Festival (HKAFF) dan mendapat pengiktirafan untuk dipertontonkan di Taipei Golden Horse Film Festival menerusi kategori Closing Film pada tahun 2019.

Filem ini telah ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada Januari tahun 2020 dan mendapat reaksi positif daripada penonton.

Advertisement