Anda di sini

Sabah masih menunggu SOP baharu dari Pusat

Advertisement


KOTA KINABALU: Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu untuk Sabah telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat dan masih dalam menunggu perwartaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 di Sabah yang diumumkan kerajaan negeri pada 28 Jun lalu.

"Perakuan SOP ini telah diputus sebulat suara oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Antara anggota Jawatankuasa ini ialah Ketua-ketua Jabatan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, PDRM dan Majlis Keselamatan Negeri Sabah (MKNS) yang juga telah menyemak perakuan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan akhbar yang berasingan mengenai SOP Sabah secara terperinci.

Sementara itu katanya, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 178 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,203 kes.

"Empat kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di daerah Tawau, satu kes di Kudat dan satu kes di Kota Belud. 

"Satu kluster baharu dikesan iaitu Kluster Muhibbah Manggatal - Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Darat Kota Kinabalu dan turut merekodkan penularan di tiga buah daerah iaitu Kota Kinabalu, Tuaran serta Penampang," katanya.

Menurutnya, kes indeks merupakan pemandu lelaki, 49, di salah sebuah badan berkanun di pusat bandaraya yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Manggatal pada 20 Jun 2021.

Selain itu, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Balung Cocos, Tawau berkuat kuasa 01 Julai sehingga 14 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
 

  • oleh
  • Advertisement