Anda di sini

Bantuan bakul makanan Kumpulan Sawit Kinabalu bantu penduduk terjejas

Advertisement
 Nizam (dua kanan) menerima sumbangan itu daripada Zarkarni (tengah) untuk diagihkan kepada penduduk di daerah Tawau.
BANTUAN : Nizam (dua kanan) menerima sumbangan itu daripada Zarkarni (tengah) untuk diagihkan kepada penduduk di daerah Tawau.

TAWAU: Bantuan Bakul Makanan yang diberikan Kumpulan Sawit Kinabalu  sangat bertepatan memandangkan ramai penduduk terjejas ketika ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama semua pihak terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menyalurkan bantuan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu kerana inisiatifnya menyalurkan bantuan tersebut.

“Saya difahamkan Kumpulan Sawit Kinabalu mengeluarkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini,” katanya

Beliau berkata demikian semasa menerima sumbangan sebanyak 500 buah bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas, di sini hari ini.

Nizam berkata, pihaknya akan mengagihkan bantuan itu kepada mereka yang betul-betul terjejas dan memerlukan.

“Sebenarnya jumlah 500 bakul makanan tidak mencukupi tetapi ianya sudah memadai kerana kerajaan negeri juga ada mengeluarkan peruntukan khas bakul makanan ketika ini.

“Saya berkeyakinan Kumpulan Sawit Kinabalu mampu meneruskan bantuan seperti ini lagi pada masa akan datang memandangkan harga komoditi kelapa sawit semakin baik ketika ini,” katanya

Katanya, Kumpulan Sawit Kinabalu juga bukan sahaja berjaya memberikan pendapatan kepada negeri Sabah tetapi ianya juga dilihat sebuah syarikat yang sangat prihatin terhadap permasalahan rakyat.

“Kami mengharapkan syarikat ini terus sukses dan memberikan pulangan kepada pendapatan negeri sekali gus membantu rakyat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Sawit Kinabalu Wilayah Tawau , Zarkarni Samsul berkata bantuan bakul makanan ini merupakan CSR syarikat untuk diagihkan di semua daerah di negeri ini.

“Sebelum ini Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Bacho Jansie telah menyerahkan sendiri dana CSR yang berjumlah RM1 juta kepada Ketua Menteri Sabah.

“Kami diperingkat wilayah diamanahkan untuk menyampaikan kepada wakil-wakil pemimpin untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, semua tempat yang dipilih akan diberikan secara sama rata iaitu 500 bakul makanan seperti yang telah diarahkan.

“Kami berharap dengan bantuan tersebut dapat meringankan beban penduduk yang memerlukan dan mengharapkan semua masyarakat mendoakan kejayaan syarikat ini supaya terus berjaya pada masa hadapan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement