Anda di sini

SESB bagi amaran jangan buat sambungan haram

Advertisement
 Wayar sambungan haram di Kampung Numbak Sepanggar. Gambar ihsan Facebook Reno Firdaus 
HARAM: Wayar sambungan haram di Kampung Numbak Sepanggar. Gambar ihsan Facebook Reno Firdaus 

KOTA KINABALU: Kejadian Letupan dan percikan api membabitkan talian pepasangan milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang tular di media sosial berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk setinggan di Kampung Numbak Sepanggar dekat sini.
 
Tindakan penduduk membuat penyambungan bekalan elektrik tanpa kebenaran boleh mengundang kemudaratan dan membahayakan lebih kurang 170 penduduk di kampung terbabit dan kawasan sekitar terpaksa bergelap sepanjang malam.
 
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Idris Mohd Noor berkata, pusat pengurusan panggilan SESB Careline menerima aduan mengenai letupan dan percikan api pada jam 7.25 malam Jumaat lepas. 

Katanya, pasukan teknikal SESB tiba di kampung berkenaan kira-kira jam 8 malam untuk mematikan punca bekalan elektrik atas faktor keselamatan bagi mengenal pasti punca berlakunya letupan terbabit.
 
"Hasil siasatan mendapati punca letupan disebabkan oleh perbuatan tidak bertanggungjawab penduduk yang melakukan penyambungan haram bagi mencuri arus elektrik daripada kabel talian atas voltan rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan perbuatan seumpama itu boleh menyebabkan berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran.
 
Sehubungan itu, Idris menyeru agar orang awam khususnya mereka yang tinggal di perkampungan setinggan jangan melakukan perbuatan menyambung bekalan elektrik secara haram.

Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja boleh melibatkan kemusnahan harta benda tetapi juga mengakibatkan penduduk lain sukar menjalani kehidupan harian.

"Ia juga boleh menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa akibat renjatan elektrik. Dalam pada itu, kerja-kerja pemulihan bekalan di kampung berkenaan dilaksanakan pada hari berikutnya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan anggota kerja SESB.
 
"SESB bersama-sama pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) dan kerajaan sedang berusaha gigih untuk menyelesaikan masalah pembekalan elektrik ke kawasan setinggan agar kejadian-kejadian seumpama ini dapat dibendung dengan lebih berkesan," jelasnya. 

Selain itu katanya, operasi bersepadu bersama-sama dengan PDRM, ST serta agensi agensi kerajaan yang lain akan dipergiatkan lagi bagi memantau perbuatan sambungan haram di kawasan setinggan. 

Beliau berkata, SESB turut menyeru orang ramai untuk melaporkan perkara berkaitan kepada SESB Careline 15454 di talian 088-515000 atau melalui aplikasi WhatsApp 019-852 5427.

 

  • oleh
  • Advertisement