Anda di sini

Tanpa MyKad boleh dapat vaksin COVID-19

Advertisement
Abang Johari pada sidang media di PPV Longi di Zon Perindustrian Bebas Samajaya. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari pada sidang media di PPV Longi di Zon Perindustrian Bebas Samajaya. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Rakyat Sarawak yang tidak mempunyai kad pengenalan atau MyKad boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata isu MyKad ini tidak menjadi masalah untuk mereka tanpa MyKad mendapatkan vaksin.

“Kalau tidak ada IC (kad pengenalan), ketua kampung boleh buat pengesahan untuk mereka dan kita akan beri suntikan kepada mereka. Ada dua, tiga orang tidak ada IC dalam kampung apa salah kalau ketua kampung telah sahkan kerana ketua kampung atau ketua masyatakat tahu akan anak buahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri Longi di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media sama berkata satu mekanisme telah diwujudkan untuk membantu individu tanpa MyKad mendapatkan vaksin.

Mekanisme ini katanya sudah dimaklumkan kepada semua jentera untuk tindakan bagi melancarkan program vaksinasi di Sarawak.

Mengenai suntikan vaksin bagi pekerja asing di negeri ini, Abang Johari berkata ia adalah percuma namun kos perkhidmatan bagi vaksinasi akan ditanggung oleh majikan.

Kerajaan katanya hanya menanggung sepenuhnya kos vaksinasi melibatkan PPV awam seperti di Stadium Perpaduan Negeri dan yang lain.

Advertisement