Anda di sini

Remaja perempuan 'hilang' disiasat sebagai kes rogol

Advertisement
 

KUCHING: Kehilangan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditemui semula pada Rabu (23 Jun) kini disiasat sebagai kes rogol.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan, ia berikutan laporan polis dibuat ibu mangsa di Balai Polis Batu Kawa.

Siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal bersama teman lelakinya selama lapan hari tidak balik rumah.

"Bertindak dengan laporan yang dibuat ibu mangsa, anggota kita menahan teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya menerusi satu kenyataan.

Suspek berusia sekitar 20-an dan berasal dari Kota Samarahan.

Jelasnya, mangsa tidak pulang selepas keluar dari rumah untuk mengambil buku tugasan di sekolah pada 15 Jun. 

Ekoran itu, bapa mangsa membuat laporan kehilangan serta turut berusaha mencari mangsa.

Remaja perempuan itu dikesan di sebuah pusat beli belah di Semariang ketika dia hendak membeli kad sim telefon bimbit sekitar jam 3 petang.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis dan kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.

Advertisement