Anda di sini

‘On Your Mark’ Chiu Keng Guan ungguli carta filem China pada hari pertama tayangannya

Advertisement
 

PENGARAH Malaysia yang cukup disegani ramai, Chiu Keng Guan dilihat berjaya mencipta fenomena sekali lagi apabila karya terbarunya, ‘On You Mark’ yang baru sahaja ditayangkan di negara China telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8.7 juta (RMB 13.65 juta) hanya pada hari pertama filem tersebut ditayangkan di lebih sembilan ribu buah pawagam.

Lebih membanggakan, kutipan positif di hari pertama itu juga meletakkan filem ini di tangga no.1 carta filem  terkini di China. Secara keseluruhan sehingga 20 Jun, filem ‘On Your Mark’ telah raih hampir RM24 juta (RMB37 jtuta).  

‘On Your Mark’ yang memulakan tayangan di China pada 18 Jun lalu merupakan filem pertama arahan Chiu Keng Guan di negara tersebut dan ia diterbitkan oleh Jiangsu Maoyan Culture Media, Wuxi Cangsheng Film, Tianjin Maoyan Weiying Culture Media, Jiangsu Hao Di Cultural Development, Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum), dan Astro Shaw, selaku penerbit tunggal dari Malaysia.

Selain penerbit, Astro Shaw juga tampil sebagai pihak pemasar dan pengedaran rasmi untuk filem ‘On Your Mark’ di Malaysia. Jadi istimewa buat penonton di Malaysia, filem yang mengangkat hubungan ayah dan anak serta semangat tidak putus asa ini juga akan ditayangkan di sini tidak lama lagi.

Untuk pasaran di Malaysia, filem ini menggunakan tajuk ‘On Your Mark’, manakala di negara China ia menggunakan tajuk asal iaitu ‘The Great Dad’ atau ‘Liao Bu Qi de Lao Ba’.  

Filem ini membariskan pelakon hebat dari negara China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhangt, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu.

Ia mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari marathon seperti ibunya.

Namun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Namun, Xiao Erdong curi-curi melihat dan berlatih di luar padang tanpa pengetahuan ayahnya. Semasa melayakkan diri dalam pertandingan, Xio Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya menjadi keyataan apabila Xio Erdong disahkan buta.  

Salah seorang pengarah terbaik Malaysia, Chiu Keng Guan terdahulu mencetuskan kejayaan luar biasa apabila karya terbaiknya, ‘OlaBola’ (2016) mengukir kejayaan terbesar buat filem Malaysia.

Bukan itu sahaja, karya beliau seperti ‘The Journey’ (2014) menjadi filem pertama dalam sejarah perfileman Malaysia yang menembusi kutipan tertinggi sebanyak RM17.28 juta serta mendapat pengiktirafan meluas kerana menjadi filem yang mampu menarik minat penonton tempatan dari pelbagai bangsa, usia dan latar.

Manakala filem ‘Think Big Big’ (2018) berjaya menembusi pawagam di negara China dan menjadi filem Malaysia yang mendapat tayangan terbesar menerusi 10,900 pawagam dengan 60,079 tayangan.

Selain itu, filem lain yang turut berjaya mendapat kutipan tinggi dan sambutan baik adalah ‘Great Day’ (2011), ‘Woohoo!’ (2010) dan ‘Skate Our Souls’ (2019).  

Beliau amat terkenal sebagai seorang pengarah yang sering menerapkan unsur tema perpaduan, kekeluargaan, persahabatan, semangat patriotisma serta kreatif mewarnai filem dengan emosi, budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Beliau juga membuktikan keupayaannya sebagai pengarah yang berjaya tonjolkan bakat-bakat baru tanpa bergantung kepada populariti untuk diketengahkan sehingga mutu lakonan meninggalkan kesan di hati penonton.

Chiu Keng Guan berkata, “Sebagai pengkarya filem Malaysia, saya amat gembira apabila filem ini menerima sokongan padu di hari pembukaannya di China. Saya berharap filem ‘On Your Mark’ akan terus berjaya dan saya tidak sabar untuk persembahkan filem ini di Malaysia tidak lama lagi.”

Ikuti info dan klip terkini tentang filem ‘On Your Mark’ menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

Advertisement