Anda di sini

Guna pistol mainan samun kedai

Advertisement
 

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki yang disyaki menyamun sebuah kedai menjual kek lapis di Medan Universiti dengan bersenjatakan pistol mainan diberkas polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata kejadian dilaporkan berlaku pada 20 Jun lalu sekitar jam 4.41 petang.

Menurutnya, suspek berusia 24 tahun itu memakai topi keledar dan pelitup muka masuk ke dalam kedai untuk membeli minuman.

"Ketika di kaunter, suspek dikatakan mengeluarkan sepucuk 'pistol' dan mengacu ke arah juruwang sambil mengarahkan agar menyerahkan wang kepadanya.

"Selepas memperolehi sejumlah wang, suspek kemudian terus beredar dengan menunggang sebuah motosikal," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Laporan polis telah dibuat oleh juruwang terbabit dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan suspek di sebuah hotel bajet di Kuching sekitar jam 5.20 petang.

"Suspek berjaya ditangkap dan sebuah motosikal yang digunakannya semasa kejadian samun tersebut berjaya dirampas bersama topi keledar dan pakaian.

"Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku melakukan samun tersebut dengan menggunakan pistol mainan yang dibelinya di sebuah kedai runcit," katanya.

Suspek semasa kejadian juga mengaku berada dalam pengaruh dadah.

"Dia kini ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun keseksaan," katanya.

Semakan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

"Suspek juga baharu tamat tempoh tahanan di bawah POCA dan ditempatkan di kawasan Bintawa pada 17 April lalu," katanya lagi.

  • oleh
  • Advertisement