Anda di sini

‘Bujang Haji’ drama terbaharu di Slot Qalbu TV AlHijrah

Advertisement
 

BADAI wabak COVID-19 yang memberi impak yang besar kepada sosioekonomi masyarakat Malaysia. Namun, musibah pandemik ini juga mengajar kita untuk lebih menghargai masa dan keluarga tercinta.

Bagi memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah sewaktu tempoh PKP 3.0 ini, TV AlHijrah kali ini tampil dengan slot drama bersiri baru yang dinamakan sebagai Slot Qalbu.

Slot Qalbu akan menyiarkan barisan drama bersiri baru, menarik dan memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian penonton. Drama-drama ini akan disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang.

Sebagai permulaan, drama ‘Bujang Haji’ telah ditayangkan bermula 8 Jun yang lalu sebanyak 13 episod siaran.

Menariknya, karya arahan Isqandar Jebat di bawah penerbitan Hujan Lebat Sdn Bhd adalah antara drama yang diterbitkan dan disiarkan dengan Kerjasama Dana Pembangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Inisiatif dana ini ditawarkan bagi membantu syarikat-syarikat produksi filem dan TV tempatan untuk menerbitkan karya bagi slot khas di platform televisyen dan melahirkan projek industri kreatif yang berkualiti tinggi serta menembusi pasaran antarabangsa.

Di samping itu juga, dana ini berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat wabak Covid-19.

‘Bujang Haji’ mengisahkan tentang tiga sahabat bujang iaitu Yus, Adi dan Ucup yang bekerja sebagai penjual ikan segar di pasar harian. Rutin harian mereka adalah rutin harian biasa yang dilalui oleh anak muda setempat yang lain.

Semuanya berubah apabila Haji Isa datang ke gerai mereka untuk membeli ikan. Haji Isa mahu mengadakan kenduri doa selamat, menjamu laksa kepada orang kampung sebagai tanda syukur dia terpilih untuk melaksanakan ibadah haji dalam masa terdekat.

Bermula detik itu, Yus, Adi dan Ucup seperti terpanggil dan mendapat semangat baru untuk turut ke kota suci Mekah melaksanakan rukun Islam kelima itu. Mereka semakin sibuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan bekalan kewangan yang cukup agar urusan haji mereka berjalan lancar.

Ketiga-tiga mereka bekerja keras untuk mencapai misi suci ini. Pelbagai peristiwa berlaku apabila masing-masing saling berlumba-lumba menunjukkan kesungguhan dan juga semangat mereka untuk menunaikan haji. Antara yang memeningkan adalah konflik percintaan.

Yus, Adi dan Ucop tersepit di antara niat suci mereka ke Mekah dan kehendak kekasih masing-masing.

Kekasih Yus, Adi dan Ucop sibuk mengajak mereka untuk mencari kelengkapan persiapan Aidiladha sedangkan mereka sudah kesuntukan masa untuk melaksanakan persiapan akhir ke Mekah.

Namun, ketiga-tiga sahabat ini mengatur strategi agar niat mereka untuk menunaikan ibadah haji tertunai dan kisah percintaan mereka juga kekal tanpa sebarang masalah.  

Yus, Adi dan Ucup mengambil langkah drastik untuk melangsungkan perkahwinan sebelum mereka berangkat untuk mengerjakan haji.

Akhirnya tiga sahabat ini dapat menunaikan haji dengan status baru iaitu sebagai suami mithali.

Drama ‘Bujang Haji’ ini dibintangi oleh pelakon berbakat seperti Chiwan Chilok, Din Latah, Jalil Hamid, Aliff Yasraf, Kartina Aziz, Fathil Dani, Rosnah Mat Aris, Hamdan Senario, Norlia Ghani, Sharifah Nur Anthasha, Mazlan Abdullah, Ramah Harun serta penampilan istimewa oleh Nasha Aziz.

Advertisement