Anda di sini

Penganggur cederakan anggota bomba direman empat hari

Advertisement
 

MIRI: Seorang penganggur lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan kejadian menyebabkan kecederaan sehingga menghalang tugasan bomba menangani kebakaran di Kampung Belipat, Lawas pada Sabtu. 

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman (gambar) berkata permohonan reman suspek berusia 30 tahun itu diluluskan selama empat hari bermula pada hari ini. 

"Walaupun mangsa, pegawai bomba berusia 41 tahun telah menarik laporan polis beliau terhadap suspek tengah malam tadi, tetapi siasatan tetap diteruskan sehingga mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya. 

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan Seksyen 186 kanun yang sama kerana menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini. 

Roslan berkata dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, semasa anggota bomba berkenaan bertugas memadamkan api kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di kampung tersebut, beliau tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang menumbuk di bahagian kepalanya. 

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif terhadap pengadu atas alasan bomba lewat ke tempat kebakaran yang bersebelahan dengan rumah suspek. 

"Kejadian terbabit juga dirakam melalui kamera Go-Pro yang dipasang pada helmet keselamatan pengadu," ujarnya. 

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Khirudin Drahman hari ini menzahirkan rasa amat kesal ke atas perkara yang telah berlaku ke atas seorang pegawainya setelah dikasari orang awam ketika memadamkan kebakaran. 

Untuk rekod, kejadian seumpama ini merupakan kejadian kali pertama berlaku melibatkan pegawai bomba di negeri Sarawak. 

Berita berkaitan: Bomba Sarawak kesal pegawai dikasari ketika padam kebakaran

  • oleh
  • Advertisement