Anda di sini

Lebih 80,000 penduduk di Sibu terima satu dos vaksin

Advertisement
 

SIBU: Kira-kira 35 peratus penduduk di bahagian Sibu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19, kata Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee (gambar).

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, seramai 232,528 individu di bahagian Sibu adalah yang berumur 18 tahun dan ke atas.

"Jumlah yang sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos ialah seramai 81,926 individu. Untuk mencapai imuniti kelompok, kita memerlukan 70 peratus populasi penduduk di sini diberi vaksin.

"Sasaran kita adalah untuk mencapai imuniti kelompok pada penghujung bulan Ogos ini," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, pada Sabtu.

Beliau turut memberitahu bahawa bahagian Sibu telah menerima sebanyak 25,160 dos vaksin pada Jumaat lalu.

"Minggu depan (Selasa dan Khamis) kita dijadual akan menerima dua lagi penghantaran (vaksin COVID-19), katanya.

Pada hantaran itu juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu juga turut berkongsi infografik graf jumlah harian vaksinasi di Bahagian Sibu dari 13 hingga 18 Jun.

Menurut graf tersebut, jumlah vaksinasi harian terus meningkat setiap hari dan telah melepasi sasaran harian iaitu 4,776 sehari.

Graf menunjukkan jumlah vaksinasi pada 13 Jun adalah sebanyak 3,959 dan terus meningkat kepada 4,386 pada 14 Jun.

Vaksinasi harian mula melepasi sasaran harian pada 15 Jun apabila seramai 5,247 berjaya disuntik vaksin, manakala 5,014 pada hari berikutnya (16 Jun).

Pada 17 Jun seramai 4,861 individu disuntik vaksin dan 4,805 individu pada 18 Jun.

Dalam pada itu, turut dikongsi adalah graf jumlah kumulatif vaksinasi bagi bahagian Sibu.

Sehingga 18 Jun, seramai 41,155 individu di daerah Sibu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19, diikuti Kanowit (7,368) dan Selangau (6,374).

Bagi dos kedua pula, Sibu merekodkan 21,714, Kanowit (2,949) dan Selangau (2,366).

  • oleh
  • Advertisement