Anda di sini

Bomba Sarawak kesal pegawai dikasari ketika padam kebakaran 

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kesal dengan tindakan orang awam yang mengasari seorang pegawainya ketika memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Belipat, Lawas pada Sabtu. 

Pengarahnya, Khirudin Drahman (gambar) berkata, dalam kejadian kebakaran rumah yang berlaku sekitar jam 3.18 petang itu, salah seorang pegawai bomba yang sedang menjalankan tugas-tugas pemadaman diserang oleh orang awam di tempat kejadian. 

Jelasnya, untuk rekod, kejadian seumpama itu merupakan yang pertama berlaku melibatkan pegawai bomba di negeri Sarawak. 

"Walau bagaimanapun, pegawai bomba yang terlibat telah bertindak profesional semasa menjalankan tugas beliau dan bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis pada jam 9.14 malam tadi (Sabtu). 

"Namun begitu, sekitar jam 12.45 tengah malam tadi, pegawai bomba tersebut atas budi bicara beliau telah menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini setelah menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari ke atas kesalahan yang dilakukan oleh beliau ekoran daripada kegagalan beliau mengawal emosi setelah melihat rumah pusaka mereka telah musnah terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tangkap layar rakaman video yang tular berhubung insiden tersebut.

Sehubungan itu, Khirudin berharap masyarakat di luar sana sentiasa menghormati dan memahami tugas dan tanggungjawab bomba dalam menangani sesuatu insiden terutamanya melibatkan indiden kebakaran dan penyelamatan. 

Tegasnya, dalam isu ini JBPM telah menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas dan sentiasa bertoleransi serta bertimbang rasa dalam menangani sebarang isu atau masalah yang dihadapi. 

"Perlu dingatkan bahawa merujuk kepada Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Seksyen 51 menjelaskan bahawa mana-mana orang yang bersengaja, mencaci, menyerang, mengacau, menghalang, menggalang, atau mengganggu mana-mana Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan atau Pegawai Bomba Sukarela yang bertindak dalam melaksanakan tugasnya atau mana-mana orang lain yang membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah arahan tertentu Pegawai Bomba melakukan kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," jelasnya. 

Justeru, beliau berharap perkara sebegini tidak lagi berulang di masa-masa akan datang, komuniti di luar sana diminta untuk terus menyokong usaha JBPM dalam program-program pencegahan kebakaran dan juga aktiviti bomba komuniti.

"Program-program yang dilaksanakan JBPM sangat bermanfaat terutamanya di dalam mencegah insiden kebakaran dan tindakan awal yang boleh diambil sekirannya berlaku kebakaran. 

"Sekiranya amalan sebegini sentiasa diambil dan diamalkan, maka sebarang kejadian kebakaran besar dapat dielakkan," ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement